KANGAR – Kegiatan jahat sepasang kekasih melakukan jenayah ragut sejak dua bulan lalu berakhir apabila mereka dicekup dalam dua serbuan berasingan pada semalam.
Lelaki berusia 27 tahun dan teman wanitanya berusia 42 tahun ditahan polis di rumah masing-masing di Arau dan Kangar.
Menurut sumber, suspek lelaki ditahan di Jalan Che Murad Belat Batu di Arau kira-kira pukul 6 petang.
“Sementara teman wanitanya pula ditahan di Pangsapuri Seri Sena di Kangar pada pukul 9.35 malam,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki mengaku terlibat dalam beberapa kes jenayah lain sebelum ini.
“Polis merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan topi keledar semasa penahanan suspek terbabit,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengesahkan mengenai penahanan suspek terlibat.
Katanya, dua suspek itu dipercayai terlibat dalam sembilan kes ragut di Kangar dan Arau sebelum ini.
“Suspek dipercayai menyasarkan penunggang motosikal wanita sebagai mangsanya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE