ALOR SETAR – Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sebanyak RM100,000, tahun lalu.
Tertuduh, K. C. Ramananaidu, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai milik kerajaan melalui Mitra bagi Program Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India B40 untuk bidang pertanian.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Agrobank Bank Berhad Cawangan Sungai Petani pada 26 Februari 2021.
Ramananaidu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan atau dengan sebatan serta denda. – KOSMO! ONLINE