fbpx

Pesakit edema tidak sempat rawatan kecilkan perut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Ahmad Shahrul yang pernah dilaporkan Kosmo! sebelum ini.

KLANG – Seorang pesakit edema, Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, yang pernah dilaporkan Kosmo! sebelum ini tidak sempat menerima rawatan intensif penyakit dihadapinya apabila meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), semalam.

Allahyarham Ahmad Shahrul meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 pagi semalam selepas menerima rawatan di hospital tersebut sejak 1 Julai lalu.

Menurut anak keduanya, Siti Nur Syafinaz, 30, ayahnya itu dijadualkan akan menerima rawatan mengecilkan perut di Hospital Putrajaya.

Katanya, ini berikutan keadaan perutnya yang besar telah menganggu fungsi jantungnya.

“Sepanjang proses rawatan, ibu menemani ayah. Pagi itu, ibu ingatkan ayah tidur rupanya telah mengadap illahi.

“Sepatutnya dalam dua minggu ini, Allahyarham akan menerima rawatan dan pembedahan di Hospital Putrajaya namun keadaannya tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas Siti Nur Syafinaz dalam tempoh dua hari sebelum meninggal didapati Allahyarham tidak boleh bercakap dan hanya mengalirkan air mata sewaktu berkomunikasi.

Jenazah Allahyarham Ahmad Shahrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Pusara Teluk Gong.

Kosmo! pada 18 April lalu melaporkan seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara menderita pe­nyakit misteri sejak tujuh tahun lalu yang menyebabkan perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur lilit pinggang melebihi 200 sentimeter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang sebelum ini pernah melawat Ahmad Shahrul semasa pemberian sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menzahirkan ucapan takziah kepada waris Allahyarham

“Menerima berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Shahrul daripada warisnya. Semoga Allah menempatkannya di kalangan orang beriman,” ujarnya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI