fbpx

Justin Bieber sambung konsert jelajah, Beliebers lega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BULAN Jun lalu, Justin mengejutkan peminat apabila berkongsi keadaan wajahnya yang lumpuh sebelah bahagian akibat diserang virus Ramsay Hunt.

SELEPAS sebulan menjalani proses penyembuhan berikutan kondisi lumpuh pada sebelah wajah, Justin Bieber kini sedia kembali beraksi untuk Konsert Justice World Tour yang bakal disambung di Itali pada 31 Julai ini.

Selepas persembahan di Festival Lucca Summer tersebut, bintang sensasi itu akan melengkapkan siri jelajah di Eropah sepanjang musim panas membabitkan lima lokasi, sebelum menuju ke Amerika Selatan pada September depan.

Menurut kenyataan dalam laman rasmi Justice World Tour, Bieber kemudian akan ‘terbang’ memenuhi janji menghiburkan peminat di Afrika Selatan, Asia, Australia, Timur Tengah dan New Zealand.

Difahamkan, selebriti berusia 28 tahun itu akan kembali lagi ke Eropah dari Januari hingga Mac tahun depan bagi menyempurnakan jelajah berkenaan.

Terdahulu, pada 10 Jun lalu, penyanyi Never Say Never itu membuat pengumuman mengejutkan mengenai serangan Sindrom Ramsay Hunt yang membuatkan sebelah mukanya lumpuh.

Menerusi perkongsian video dalam Instagram, Bieber bercakap dalam keadaan sukar malah sebelah matanya juga tidak dapat berkelip seperti biasa.

Dia juga menyatakan terpaksa membatalkan persembahan di Washington DC, Toronto dan New York serta beberapa siri di Amerika Utara.

“Jelas sekali, seperti yang anda boleh lihat pada wajah saya. Mata tidak berkelip dan tersenyum dari sisi wajah. Lubang hidung juga tidak bergerak, jadi terdapat kelumpuhan penuh pada wajah saya.

“Saya mempunyai sindrom Ramsay Hunt, berpunca daripada virus yang menyerang saraf di telinga dan muka.

“Saya tidak mampu melakukannya. Kepada peminat yang kecewa dengan pembatalan konsert berlangsung dalam masa terdekat, saya harap dapat memahami keadaan saya,” katanya.

Biarpun kasihan dengan nasib yang menimpa penyanyi kesayangan mereka, rata-rata peminat yang sudah membeli tiket bimbang tarikh konsert dianjak atau dibatalkan terus.

Makluman terkini daripada penyanyi itu akhirnya memberi kelegaan kepada Beliebers di Malaysia yang menunggu kemunculan Bieber di Stadium Bukit Jalil pada 22 Oktober depan.

Dalam kenyataan sama, buat masa ini tiada satu pun tarikh penganjuran di pentas antarabangsa yang diubah atau dianjakkan.

Sementara itu, masih belum ada tarikh baharu untuk persembahan Bieber di Amerika Utara selepas penyanyi itu membatalkan konsertnya di lokasi terbabit.

Namun, seperti dilaporkan agensi, besar kemungkinan siri jelajah di Amerika Utara akan diadakan pada musim bunga tahun depan.

Proses penyembuhan Bieber dilihat berjalan lancar, malah terbaharu dia kelihatan semakin sihat ketika bercuti dengan isterinya, Hailey Baldwin, 25, di Coeur d’Alene, Idaho, Amerika Syarikat.

Rakannya yang juga penyanyi Usher turut mendedahkan Bieber tampak lebih bertenaga, positif dan sedia untuk kembali ke pentas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI