fbpx

MasyaAllah saya langsung tidak ingat apa-apa – Aprena Manrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aprena Manrose (kiri) dan Iwan

PETALING JAYA – “Saya tidak ingat kejadian itu sebab masih kecil. Apa-apa pun hubungan saya dengan ayah tiada masalah dan kami sangat baik”.

Demikian kata pelakon Aprena Manrose sewaktu dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan respon tentang kejadian dia bersama adik beradik lain mengejek ayah mereka iaitu penyanyi, Iwan Syahman yang mahu bertemu dengannya untuk melepaskan rindu.

Ujar Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, dia langsung tidak mengingati kejadian tersebut kerana masih kecil (berusia tiga tahun) selain tidak pernah diceritakan semula oleh Iwan.

“MasyaAllah. Saya langsung tidak ingat sebab masih kecil. Ayah pun tidak pernah bercerita pada kami adik beradik. Tapi apa yang saya tahu, hubungan ayah dengan arwah ibu memang tidak berapa baik selepas mereka berpisah.

“Alhamdulillah, sebenarnya hubungan saya dengan ayah sangat baik. Kami tidak ada apa-apa masalah,” katanya kepada Kosmo!

Menyentuh tentang perubahan imejnya yang kini sudah pun berhijab, pelakon berusia 29 tahun itu percaya perubahan imejnya itu adalah berkat daripada doa seorang ayah yang tidak putus-putus untuk anaknya.

“Penghijrahan saya dan juga kakak, Oktavia adalah berkat daripada doa seorang ayah yang tidak pernah putus.

“Bagi saya, dalam sebuah keluarga perlu adanya agama. Kalau kita betul-betul amalkan ajaran dalam agama, hidup akan lagi aman. Kalau tiada iman, sebab itu keluarga boleh berpecah belah,” katanya.

Ujar Aprena lagi, sewaktu dirinya masih belum berhijab, ayahnya selalu memberi pesan yang baik-baik.

“Kalau hendak berjumpa ayah, kami kena tutup aurat. Doa daripada seorang ayah juga menjadi asbab anak-anak berubah ke arah yang lebih baik.

“Saya rasa kalau bukan berkat doa daripada ayah, saya pun tidak akan jadi seperti sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Sedingin Salju itu bersyukur kerana sepanjang hidupnya, dia tidak pernah berselisih faham atau bersengketa dengan ayahnya walaupun dalam hal-hal kecil.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah berselisih faham dengan ayah. Malah ayah menjadi keutamaan saya selain suami. Kami tidak pernah ada sebarang isu,” katanya.

Terdahulu, Iwan menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam YouTube sekadar berkongsi pengalaman sewaktu anak-anaknya masih kecil apabila pernah diejek mereka ketika mahu berjumpa.

Kejadian menyedihkan itu disifatkan Iwan sebagai antara punca dirinya berhijrah ke arah yang lebih baik dengan mendekatkan diri dengan Tuhan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI