KUALA LUMPUR – Tujuh pingat emas menjadi sasaran skuad silat negara menjelang Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada 26 hingga 31 Julai depan.
Kejuaraan Dunia edisi ke-19 tersebut mendapat sambutan dari 40 buah negara dengan melibatkan lebih daripada 500 atlet yang bertanding.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau percaya anak-anak buahnya telah bersedia untuk berentap memburu kejayaan terutama bersaing di bumi sendiri.
“Saya sudah melihat barisan pesilat yang akan bertanding pada kali ini. Nampaknya semua pesilat negara bersedia untuk berjuang bersama pesilat terbaik dari seluruh dunia.
“Jadi kami mengambil keputusan untuk menyasarkan tujuh emas daripada 32 acara yang dipertandingkan di Melaka nanti.
“Sudah pasti saingan lebih sengit memandang peraturan baharu diguna pakai di pentas dunia ini. Jadi, saya lihat peluang untuk memburu gelaran sama rata kepada semua negara-negara yang mengambil bahagian.
“Saya harap kepada semua atlet yang terpilih akan menggunakan pentas ini sebaik mungkin untuk memburu gelaran dunia. Bagi saya,
sesiapa sahaja mampu memenuhi sasaran tujuh pingat emas itu,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Turut menyertai kejuaraan dunia tersebut adalah India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir dan Amerika Syarikat.
“Malaysia sudah bersedia untuk membuka gelanggang bagi pesilat dari 40 buah negara untuk bertarung. Malah, persiapan dari segi logistik juga berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan dunia ini.
“Sambutan bagi edisi ke-19 in amat baik apabila negara seperti India, Pakistan, Kazakhstan, Kanada, United Kingdom, Belanda dan Jerman akan turut serta.
“Malah ada beberapa negara yang turut memohon untuk berada sebulan sebelum kejohanan itu diadakan untuk berlatih bersama-sama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE