PETALING JAYA – Kerajaan perlu mengambil kira potensi industri vape di negara ini yang telah pun memiliki ekosistem lengkap daripada pengilang, pembekal, peruncit dan pengguna sebelum membuat keputusan untuk mengharamkannya, gesa Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).
Ia susulan laporan media bahawa Kabinet bersetuju membentangkan akta yang bakal mengharamkan industri vape pada masa depan, melibatkan polisi yang melarang penggunaan vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.
Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, larangan itu bertentangan dengan keputusan Kabinet pada 2015 untuk tidak melarang industri vape, sebaliknya akan memperkenalkan kawal selia kepada industri.
“MVIA memohon kerajaan mengkaji semula polisi ini sebelum membuat pusingan U kerana setiap langkah drastik yang diambil akan membawa kepada satu masalah yang lain.
“Kami juga memohon kerajaan menerima pendapat dan bukti santifik mengenai vape yang dibuktikan kurang risiko berbanding rokok serta mampu menurunkan kadar merokok negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, keputusan mengharamkan vape membawa mesej yang salah, selain memberi kesan yang besar kepada industri vape tempatan yang dianggarkan bernilai RM2.27 bilion.
“Ia secara tidak langsung menggalakkan pasaran gelap kerana pemintaan terhadap produk vape sangat tinggi dan pengguna akan mencuba pelbagai cara lain untuk mencari bekalan.
“Sejak 2015, persatuan ini telah memperjuangkan agar industri ini diiktiraf sebagai industri yang sah.
“Kementerian Kesihatan pula masih tidak memberikan kata putus berhubung peraturan vape dan tidak melibatkan industri dalam perbincangan kawal selia industri vape,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE