JAKARTA – Mahkamah Agung Republik Indonesia memutuskan bahawa ganja tidak boleh digunakan atas tujuan perubatan, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Mahkamah Agung dalam keputusan kes nombor 106/PUU-XVII/2020.
Mahkamah sama menolak petisyen semakan semula Undang-undang Narkotik berhubung artikel yang melarang penggunaan narkotik kelas I.
“Berdasarkan penilaian terhadap fakta dan undang-undang. Satu, permohonan Pempetisyen V dan VI tidak dapat diterima. Dua, menolak permohonan secara keseluruhan,” kata Ketua Majlis Hakim, Anwar Usman.
Oleh yang demikian, kelas narkotik termasuk ganja tidak dibenarkan untuk digunakan walaupun atas alasan perubatan.
Sebelum ini, tiga wanita membantah larangan penggunaan narkotik kelas I untuk tujuan kesihatan seperti yang terkandung dalam Undang-undang Narkotik.
Mereka ialah Dwi Pertiwi, Santi Warastuti, dan Naflah Murhayanti yang merupakan ibu kepada anak yang menderita penyakit cerebral palsy.
Perjuangan tiga wanita itu mendapat perhatian umum selepas membentangkan poster pada acara Car Free Day Jakarta yang meminta bantuan untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan. – Agensi