Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
BAGAN DATUK – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis pemberhentian operasi terhadap premis memproses produk makanan berasaskan ikan dan hasil laut di Jalan Tepi Sungai di Hutan Melintang dekat sini berikutan kejadian kebocoran gas ammonia di premis itu, Sabtu lalu.
JKKP Perak dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan operasi di bahagian proses penyejukbekuan di premis tersebut berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan lengkap dijalankan dan tindakan penambahbaikan telah dibuat oleh majikan.
“JKKP Perak menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu semalam dengan siasatan awal mendapati berlaku kejadian gas ammonia terbebas di bahagian proses penyejukbekuan apabila bahagian penutup atas piston kompressor di situ mengalami keretakan dan pecah.
“Pengujian gas dilakukan oleh pegawai dari Bahagian Higien Industri & Ergonomik, Ibu Pejabat JKKP, mendapati bacaan gas ammonia melebihi had PEL 25ppm pada bahagian sekitar penutup atas tersebut yang sudah ditampal oleh pihak kilang,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, punca bahagian itu menjadi retak dan pecah masih belum dikenal pasti.
JKKP Perak menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab jika didapati berlaku pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – K! ONLINE