PETALING JAYA – Hampir semua wad pediatrik (kanak-kanak) di sekitar Kota Bharu, Kelantan ketika ini dilaporkan penuh dan hampir tiada katil untuk pesakit baharu.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, individu yang dikenali sebagai Mariah Fauzi mendakwa, kesesakan itu dikesan melibatkan empat hospital utama daerah terbabit.
Antara hospital terbabit adalah Hospital Pakar Perdana KPJ, Kota Bharu Medical Centre (KBMC), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).
Kongsi wanita itu lagi, ketika ini di HRPZ II, pihak pengurusan hospital terpaksa meletakkan katil di tengah laluan di dalam wad terbabit bagi menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai.
Jelas Mariah, salah seorang pesakit tersebut adalah anaknya sendiri.
“Semoga anak-anak semua dikurniakan kesembuhan secepatnya oleh Allah Taala. Amin,”tulisnya di laman Facebook semalam.
Susulan perkongsian tersebut, rata-rata pengguna mendakwa hampir semua wad pediatrik di beberapa hospital di negeri lain turut mengalami keadaan sama.
“Sama la dekat Kedah pon, wad peadiatrik penuh, kena tumpang wad multidisiplin,”tulis Syahirah Abd Ghaffar.
Turut berkongsi kisah kesesakan di hospital HRPZ II adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Noraidah Abdul Wahab.
“Anak saya masuk wad kat HRPZ II dua minggu lepas, kuman kat paru-paru. Semua yang masuk ‘on’ oksigen, kebanyakannya bayi.
“Sebelum dapat ke hospital tu pun kena tolak banyak hospital sebab penuh,”katanya. – KOSMO! ONLINE