LONDON – Tiga pasport Asia menawarkan kebebasan perjalanan global lebih meluas untuk pemegangnya berbanding negara-negara lain di dunia pada 2022, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Laporan suku tahunan baharu mengenainya dikeluarkan oleh firma penasihat kewarganegaraan dan kediaman global, Henley & Partners berpangkalan di London.
Menurut laporan berkenaan, Jepun menawarkan akses bebas visa atau dengan visa ke 193 destinasi di seluruh dunia sekali gus rekod baharu. Negara itu mendahului Singapura dan Korea Selatan yang masing-masing mencatatkan 192 destinasi.
Bagaimanapun, orang Asia lebih berwaspada terhadap Covid-19 menyebabkan mereka kurang berkemungkinan untuk menggunakan kebebasan perjalanan dalam masa terdekat berbanding rakyat Eropah atau Amerika Syarikat.
Permintaan penumpang antarabangsa untuk perjalanan udara di rantau Asia Pasifik masih kurang satu perlima daripada kadar yang direkodkan semasa era sebelum pandemik Covid-19, demikian menurut statitik terkini Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Sebagai perbandingan, pasaran pelancongan di Eropah dan Amerika Utara pulih sekitar 60 peratus, demikian menurut laporan Indeks Pasport Henley.
Sebilangan besar negara Eropah menduduki senarai di bawah tiga negara Asia tersebut. Jerman dan Sepanyol terikat kepada 190 destinasi diikuti Finland, Itali, Luxembourg dengan 189 destinasi.
Seterusnya merupakan Austria, Denmark, Belanda dan Sweden yang terikat di tempat kelima manakala Perancis, Ireland, Portugal dan Britain pada kedudukan keenam.
New Zealand dan Amerika Syarikat berada di tempat ketujuh bersama Belgium, Norway dan Switzerland.
Afghanistan menduduki tempat tercorot dengan warganegaranya hanya boleh memasuki hanya 27 negara tanpa memerlukan visa terlebih dahulu.
Sementara itu, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dengan 179 destinasi.
Bagaimanapun, apabila sekatan perjalanan semakin berkurangan, terdapat tanda-tanda bahawa pasport yang berpangkat lebih rendah mula memulihkan pengaruhnya. – Agensi