LONDON – Bintang Brazil, Neymar seakan terus menjadi pemain paling dibenci apabila belum ada mana-mana kelab yang bersedia untuk mendapatkan khidmatnya daripada Paris Saint-Germain.
Terbaharu, menerusi laporan antarabangsa, Pengarah Sukan PSG, Luis Campos sedia melepaskan pemain itu dan tawaran kepada Manchester City dibuat sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan Bernardo Silva.
Bagaimanapun, situasi yang terpaksa dihadapi oleh Neymar bertambah teruk selepas pengurus City, Pep Guardiola juga dikatakan langsung tidak berminat dengan tawaran yang dikemukakan oleh PSG.
Keputusan Guardiola untuk tidak melayan tawaran PSG itu juga dikatakan selepas mengambil kira prestasi yang dijelmakan oleh Silva sepanjang musim lalu.
Keengganan City untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan wakil Neymar juga adalah disebabkan kepercayaan penuh Guardiola terhadap barisan serangan yang dimilikinya ketika ini.
Selain itu, soal gaji turut menjadi alasan kepada penolakan City, malah Guardiola juga dikatakan tidak mahu timbulnya situasi tidak seimbang dalam pasukan jika munculnya pemain bintang seperti Neymar.
Merujuk kepada apa yang diperkatakan Guardiola pada April tahun lalu, pengurus itu merasakan Barcelona adalah destinasi paling sesuai dan percaya gergasi Sepanyol berkenaan mampu menjulang lebih banyak kejuaraan Eropah jika tidak membiarkan Neymar berhijrah ke Perancis.
“Saya sentiasa yakin dengan kualiti yang ada pada pemain. Jika Neymar kekal di Barcelona, mereka mampu memenangi dua atau tiga trofi Liga Juara-Juara,” katanya. – AGENSI