LONDON – Lapangan Terbang Antarabangsa Luton di England terpaksa ditutup selama dua jam selepas permukaan landasan menggelembung akibat gelombang haba ekstrem, lapor portal berita MailOnline, kelmarin.
Perkhidmatan di lapangan terbang itu disambung semula pada pukul 5.40 petang (waktu tempatan) kelmarin, dengan pesawat mula mendarat 15 minit kemudian.
Pesawat terakhir yang berlepas di lapangan terbang itu sebelum ditutup adalah sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan).
Meskipun begitu, penumpang berdepan dengan barisan menunggu yang panjang apabila perkhidmatan ditangguh selama dua jam, sekali gus menjejaskan jadual asal beberapa pesawat yang sepatutnya berlepas lebih awal.
Seorang penumpang berkata, penerbangannya telah dilencongkan ke Stansted disebabkan gelombang panas yang telah ‘mencairkan’ landasan di Luton.
“Berikutan suhu tinggi hari ini, pihak lapangan terbang mengesan ‘kecacatan’ pada permukaan landasan.
“Jurutera telah dipanggil segera ke landasan dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan untuk menyambung semula operasi secepat mungkin. Kami ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” demikian menurut jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Luton.
Sementara itu, aktiviti penerbangan turut dihentikan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Brize Norton dengan stesen penyiaran Sky News melaporkan bahawa sebahagian daripada landasan telah ‘mencair’.
Jurucakap RAF berkata, keselamatan penerbangan dalam keadaan suhu ekstrem adalah keutamaan agensi itu, maka pesawat diarah menggunakan lapangan terbang alternatif selaras dengan pelan sokongan yang telah disediakan.
“Ini bermakna situasi gelombang haba ini tidak memberi sebarang kesan ke atas operasi RAF,” ujar jurucakap itu. – Agensi