HARI ini genap dua tahun usia akhbar Kosmo! selepas kembali menemui semula pembaca pada 20 Julai 2020 dengan pelbagai kupasan laporan berita bersifat komprehensif dan versatil demi memastikan suara rakyat terus didengar.
Mengadunkan ‘resepi’ memperjuangkan suara pengguna dalam setiap laporan berita, Kosmo! terus mengorak langkah agresif bagi memastikan isu dihadapi rakyat dapat diketengahkan seterusnya membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi.
Selain memberi fokus kepada isu kepenggunaan, akhbar ini juga tidak ketinggalan membawakan laporan berkonsepkan hal ehwal semasa selari dengan selera pembaca yang mahukan pemberitaan meliputi pelbagai aspek kehidupan.
Pendedahan mengemparkan bertajuk ‘Perkampungan emas’, ‘Mukim Kechau dalam Jajaran Emas’, ‘Tanah emas tidak akan dirampas’, ‘Perangkap tauke emas’ dan ‘Malaysia kaya dengan emas’ ternyata mendapat perhatian pembaca.
Laporan dibuat wartawan Abdul Rashid Abdul Rahman ini mendedahkan enam buah kampung di Mukim Kechau, Lipis, Pahang dipenuhi dengan emas hingga ada penduduk yang mendapat dua kilogram logam berharga itu hanya dengan sekali sauk menggunakan jengkaut.
Perut bumi di mukim yang mempunyai keluasan 77,000 hektar dan didiami kira-kira 5,000 penduduk itu dikatakan kaya dengan emas kerana logam berharga itu masih terdapat di situ walaupun hasilnya telah digali sejak ratusan tahun dahulu.
Pendedahan bersiri kampung emas ini berjaya memenangi pingat perak Kategori Laporan Berita Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2021.
Selain itu, Kosmo! turut memberi tumpuan isu berkaitan perubahan iklim menerusi laporan ‘Malaysia berdepan bencana lebih kerap’ seperti tanah runtuh, banjir besar, tanah gambut dan kemarau ekoran kesan situasi pemanasan global.
Kesahihan laporan berkenaan seolah-olah diterjemahkan menerusi beberapa bencana alam ‘Bah di Kelantan, Terengganu’, ‘Janda Baik tenggelam’ selain ‘Tragedi di Baling’.
Taktik sindiket pengurusan jenazah sekitar Lembah Klang yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat turut didedahkan menerusi laporan ‘Kaut untung bisnes orang mati’ hingga membawa kepada penahanan beberapa individu.
Menerusi laporan itu, sindiket terbabit yang menggunakan taktik mayat tidak boleh disimpan lama di hospital mampu memperoleh keuntungan antara RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada faktor-faktor tertentu termasuk lokasi penghantaran si mati.
Pada masa sama, Kosmo! meneruskan agenda sebagai suara kontemporari rakyat dengan laporan ‘Tambang e-hailing naik mendadak’ yang mendedahkan penderitaan rakyat berhubung harga perkhidmatan itu.
Rentetan laporan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong meminta syarikat e-hailing terlibat mengemukakan alasan kenaikan harga hingga membebankan orang ramai.
Tidak ketinggalan, isu kenaikan harga bahan mentah ayam, telur dan tepung turut diberi tumpuan menerusi beberapa siri berita dalam usaha memastikan keluh kesah rakyat didengari.
‘Krisis telur terus berulang’ dan ‘Stok tepung hanya bertahan sampai Julai’ menceritakan situasi dihadapi orang ramai khususnya B40.
Laporan berita ‘Tambang bas sekolah naik’ antara isu kepenggunaan diutarakan dalam usaha memberi penyelesaian terbaik kepada situasi dihadapi rakyat.
Akhbar kompak dilancarkan pada 30 Ogos 2004 kembali berada di pasaran sejak dua tahun lalu di bawah Media Mulia Sdn. Bhd. dipimpin Pengarang Kumpulan, Mohamad Azlan Jaafar.