KOTA BHARU – Seorang warga emas melecur pada pergelangan tangan kanannya semasa berusaha menyelamatkan barangan di rumah rumahnya yang sedang terbakar di Kampung Bunut Payong di sini hari ini.
Kejadian pukul 1.30 tengah hari itu berlaku semasa mangsa, Che Madiran Che Ali, 62, sedang membersihkan halaman rumah selepas pulang dari tempat kerja di Kampung Batu 2 di sini.
Che Madiran berkata, dia terhidu bau hangit sebelum terus berlari masuk ke dalam rumah dan melihat api sudah marak di bahagian ruang tamu.
Menurutnya, dia terus mengerah kudrat untuk mengangkat sebuah televisyen yang berada di ruang tamu rumah berkenaan.
“Ketika mengangkat televisyen itu, lengan saya terkena percikan api. Saya melupakan hasrat untuk membawa keluar barangan lain dan terus menyelamatkan diri.
“Ekoran api yang marak dengan cepat, saya hanya mampu melihat rumah hangus terbakar dari jauh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Dia bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kebakaran tersebut.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, seramai 22 anggota bomba dari Balai Bomba Darulnaim dan Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.30 tengah hari. – KOSMO! ONLINE