Oleh ROHANA ISMAIL
TUMPAT – Polis menahan empat lelaki termasuk seorang berketurunan Siam anggota ‘Geng Peli Kebakat’ yang dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal, kereta dan pecah rumah di daerah ini pada Jumaat lalu sehingga semalam.
Keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 59 tahun itu diberkas selepas polis menerima laporan mengenai kes kecurian motosikal di Kampung Kebakat pada 14 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, ketua sindiket itu yang dikenali sebagai Peli Kebakat ditahan di daerah ini bersama seorang konconya manakala dua lagi suspek dicekup di Kota Bharu.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, polis turut merampas dua buah kereta jenis Mercedes C180 dan Proton Perdana, sebuah motosikal jenis Honda EX5, televisyen, komputer riba, sebuah enjin motosikal Honda EX5 bersama komponen, sebuah motosikal elektrik dan besi.
“Selain itu, polis turut menemui lapan biji pil kuda yang dipercayai untuk kegunaan sendiri salah seorang daripada suspek.
“Siasatan lanjut mendapati, Geng Peli Kebakat itu aktif melakukan jenayah curi motosikal, kereta dan pecah rumah sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Amran, berdasarkan semakan, Geng Peli Kebakat mempunyai 25 rekod jenayah lampau selain baru keluar penjara tujuh bulan lalu manakala tiga lagi ahli kumpulan itu turut memiliki beberapa rekod jenayah.
“Polis percaya penahanan keempat-empat suspek itu berjaya menyelesaikan tujuh kes jenayah di Tumpat dan satu kes di Kota Bharu. Selain itu, kita masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan kumpulan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE