SELEPAS 35 tahun bergelar penyanyi, akhirnya Ratu Pop Malaysia, Datuk Aishah berpeluang menjayakan sebuah konsert solo yang telah lama dinantikan iaitu Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 Ogos ini.
Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, gagal menyembunyikan keterujaan sementelah konsert tersebut sepatutnya berlangsung pada April 2020, namun tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
“Rasa seperti tidak percaya kerana saya telah menunggu begitu lama untuk mendapat peluang keemasan ini. Sebelum ini, saya pernah mengadakan persembahan di DFP, tetapi bukan secara solo.
“Saya akui memang agak tertekan kerana tarikh konsert tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Namun, saya ambil tekanan sebagai satu cabaran selepas berpuluh tahun berada dalam industri.
“Bagi kekal relavan saya harus mencabar diri mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya suka perasaan teruja ini, walaupun sudah lama menyanyi tetapi setiap kali sebelum naik ke atas pentas saya masih terasa seram sejuk sama seperti mula-mula menyanyi dahulu,” kongsi Aishah.
Menyambung bicara tentang konsert solonya, Aishah yang bakal mendendangkan sebanyak 23 buah lagu mengakui, mulanya menghadapi kesukaran dalam soal pemilihan lagu.
Masakan tidak, sepanjang 35 tahun menyanyi, Aishah memiliki lebih 160 buah seleksi lagu daripada 16 buah album yang pernah diterbitkan.
“Sebelum ini saya pernah mengajukan pertanyaan kepada peminat dalamn Instagram, kebanyakan mereka meminta saya menyanyikan lagu balada putus cinta.
“Agak mustahil untuk saya menyanyikan semua lagu hit kerana terlalu banyak dan momentum konsert perlu ada turun naiknya.
“Oleh itu, saya memilih lagu yang menceritakan perjalanan saya sebagai penyanyi. Saya pilih lagu daripada setiap era bermula daripada zaman The Fan Club.
“Menariknya, saya akan menyanyikan sebuah lagu yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini, tetapi popular dalam kalangan peminat,” tuturnya.
Menambahkan lagi keterujaannya, kebanyakan lagu akan kedengaran begitu segar dan berbeza selepas digubah konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ahmad Muriz Che Rose.
Justeru, Aishah berharap peminat hadir ke konsertnya dengan fikiran terbuka dan tidak mengharapkan susunan muzik sama seperti dalam album.
“Saya harap pembeli tiket datang dengan minda yang terbuka, jangan harap lagu dengan susunan muzik 1990-an. Lagu saya masih sama, tetapi kedengaran berbeza.
“Sebagai penyanyi , saya telah menyanyi berpuluh tahun dengan gaya nyanyian yang sama. Kali ini lagu semua agak berbeza, jadi satu cabaran untuk saya,” kata Aishah.
Stamina
Pada usia 57 tahun dan pernah terkena jangkitan Covid-19 sebanyak dua kali, timbul kebimbangan berhubung tahap stamina Aishah untuk mengadakan persembahan solo selama dua jam.
Aishah yang telah mula menjalani latihan ketat sejak dua bulan lalu bagaimanapun berasa yakin bahawa kesihatan dan vokal sudah berada pada tahap terbaik.
“Dua bulan selepas terkena Covid-19 memang terasa begitu penat, suara pun mengigil-gigil apabila mengaji al-Quran, namun sekarang semuanya sudah kembali okey.
“Selain itu, saya menjaga pemakanan dan menjalani latihan ketat supaya dapat memberi persembahan terbaik,” ujarnya.
Ironinya, konsert Aishah di DFP berlangsung sama tarikh dengan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Persaingan
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ahmad Muriz menyifatkan penganjurkan dua konsert serentak di pentas berhampiran sebagai persaingan sihat.
Malah, pihaknya yakin Aishah memiliki kekuatan dan peminat tegar tersendiri. Atas sebab itulah, DFP meneruskan penganjuran konsert pada tarikh sama.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dengan tiket konsert bahagian C telah habis terjual, tinggal beberapa bahagian sahaja lagi yang belum terjual.
“Pihak kami tetap dengan keputusan untuk meneruskan konsert pada hari yang sama kerana yakin dengan Aishah.
“Kalau kami tidak yakin dengannya mungkin kami akan mengambil jalan dengan mengubah tarikh.
“Saya melihat ini satu perkembangan industri seni yang sihat, banyak penganjuran konsert dan peminat sanggup untuk bayar menyaksikan persembahan.
“Jadi, saling menyokong antara satu sama lain,” tutur Ahmad Muriz.
Peminat yang ingin menyaksikan konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di DFP, boleh dapatkan tiket berharga RM355, RM455, RM555, RM655 dan RM888 menerusi laman web, www.mpo.com.my.