LUMUT – Seorang ibu tunggal sanggup berhenti kerja di Johor kerana mahu menjaga ibu di kampung terpaksa menerima hakikat diuji dengan penyakit kanser payudara tahap empat.
Hasrieyanti Abd. Rahim, 37, sebelum ini bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah kafe di Johor sebelum berhenti pada September 2021 kerana mahu menjaga ibunya, Che Halimaton Othman, 64, di Kampung Pasir Pandak, Sitiawan di sini.
“Tujuh bulan kemudian, saya berasa kurang sihat dan sakit pada payudara sebelah kiri. Pemeriksaan di klinik mendapati ada ketulan pada payudara dan ketiak.
“Seterusnya saya dirujuk ke Hospital Seri Manjung (HSM) di sini sebelum disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.
“Saya pulang ke kampung untuk bekerja di sini sambil menjaga ibu tapi tidak sangka ibu pula yang perlu jaga saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Hasrieyanti, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan mahu sentiasa bersikap positif untuk sembuh demi anaknya, Puteri Nur Zahirah Khairul Nizam, 10, dan ibu.
Mereka kini menyewa rumah wakaf Masjid Haji Isa, Batu 8 Lekir di sini dengan bayaran RM200 sebulan.
“Saya sudah tidak mampu untuk bekerja. Segala perbelanjaan ditanggung adik-beradik. Saya memerlukan kira-kira RM100 setiap kali ke hospital untuk rawatan kemoterapi dan kos perjalanan.
Duit simpanan juga semakin berkurangan,” katanya.
Jelasnya, doktor ada memaklumkan selepas enam pusingan kemoterapi mereka akan melihat semula proses rawatan sama ada perlu menjalani pembedahan atau meneruskan rawatan lain.
Orang ramai yang ingin membantu diminta menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB milik Hasrieyanti bernombor 7621093939 atau menghubungi Che Halimaton di talian 016-7029272.