COLOMBO – Tiga calon dinamakan bagi menggantikan bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara minggu lalu, di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin buruk di negara Asia Sealatan itu.
Parlimen semalam mengumumkan pemangku Presiden, Ranil Wickremesinghe akan bersaing dengan bekas Menteri Pendidikan, Dullas Alahapperuma, yang menerima sokongan pimpinan tertinggi parti pembangkang.
Seorang lagi calon yang dinamakan ialah pemimpin parti sayap kiri, Anura Dissanayake.
Ketua pembangkang utama, Sajith Premadasa pula menarik diri daripada pilihan raya tersebut selepas memihak kepada calon parti pemerintah, semalam.
“Ini adalah untuk kebaikan negara yang saya cintai dan rakyat yang saya raikan,” katanya menerusi Twitter beberapa minit sebelum penamaan calon bermula.
Sumber politik berkata, Premadasa dan Alahapperuma memeterai janji pada malam sebelumnya agar salah seorang daripada mereka menjadi Presiden, serta seorang lagi bergelar Perdana Menteri. Ia bertujuan untuk membentuk kerajaan campuran di Sri Lanka.
Ekoran itu, Alahapperuma dicalonkan oleh Premadasa dan disokong oleh Menteri Antarabangsa, G.L. Peiris, demikian menurut laporan laman berita News In Asia.
Sementara Wickremesinghe pula dicalonkan oleh Ketua Menteri Dalam Negeri, Dinesh Gunawardena serta disokong oleh Menterinya, Manusha Nanayakkara.
Nama Dissanayake pula dicalonkan oleh seorang Ahli Parlimen, Vijitha Herath dan disokong oleh rakan sejawatnya, Harini Amarasuriya.
Ketiga-tiga calon dicalonkan secara rasmi dalam satu sesi yang berlangsung kurang 10 minit di bangunan Parlimen yang dikawal ketat.
Sejurus selepas pengumuman tersebut, sidang Parlimen ditangguhkan dan akan disambung semula pagi ini bagi melaksanakan proses mengundi untuk memilih Presiden.
Sementara itu, Wickremesinghe, 73, yang menjadi Perdana Menteri selama enam kali mempunyai sokongan rasmi bagi jawatan Presiden daripada parti Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP). Ia merupakan parti terbesar dalam Parlimen yang mempunyai 225 kerusi.
Calon yang berjaya akan mengambil alih tugas Rajapaksa bagi penggal yang akan berakhir pada November 2024.
Beliau bagaimanapun bakal berdepan kesukaran kerana perlu memulihkan negara yang bankrap tersebut selain bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan rakyat yang melakukan protes akibat bergelut dengan makanan, bekalan elektrik, ubat-ubatan dan bahan api.
Dalam pada itu, dalam perkembangan lain, syarikat minyak milik kerajaan, Ceylon Petroleum Corporation (CPC) dan Lanka Indian Oil Corporation (LIOC) mengumumkan penurunan harga runcit bahan api bermula Ahad malam lepas, lapor agensi berita Xinhua.
Harga seliter petrol Octane 92 akan dikurangkan sebanyak LKR20 (0.24 sen), menjadikan harga runcit baharu adalah LKR450 (RM5.59).
Petrol Octane 95 pula akan dijual pada harga LKR540 (RM6.71) seliter, turun sebanyak LKR10 (0.12 sen).
Dalam masa sama, Kementerian Tenaga dan Tenaga juga memperkenalkan sistem digital baharu untuk mewujudkan sistem pengagihan bahan api bermula 21 Julai ini.
Kedua-dua CPC dan LIOC akan mengambil bahagian dalam skim itu. – AFP/AGENSI