ISU kenaikan harga barang yang semakin melambung pada masa ini semestinya menjadi beban kepada pengguna yang kebanyakannya masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
Sudah menjadi kelaziman apabila harga barangan meningkat di pasaran, harga makanan yang dijual peniaga termasuk di gerai-gerai di tepi jalan turut mengalami kenaikan.
Jika sebelum ini, kuih-muih dijual 50 sen sebiji kini harganya mengalami kenaikan sebanyak 10 sen dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada sesetengah pembeli.
Teringat penulis tentang seorang rakan baru-baru ini merungut dengan harga nasi lemak yang dibelinya di sebuah gerai di tepi jalan.
Menurutnya, dia bukanlah seorang yang berkira dalam bab makanan, tetapi berasakan harganya tidak sepadan dengan apa yang dia dapat iaitu nasi, sehiris timun dan sambal tanpa disertakan telur pada harga RM2.
Itu baru satu kes tentang kualiti makanan yang dijual yang dikatakan tidak sepadan dengan harga dan peniaga dilihat cuba menangguk di air keruh demi keuntungan lebih.
Begitupun, masih terdapat peniaga yang jujur dalam mencari rezeki dengan tidak menjualnya pada harga tidak sepatutnya.
Masih ada peniaga menjual nasi lemak yang mengandungi sebiji telur rebus, timun, sambal dan sedikit kacang serta ikan bilis pada harga RM2.
Apabila ditanya masih ada untungkah dijual pada harga sebegitu, sedangkan orang lain sudah mengenakan caj berlainan, dia menjawab, tidak perlu berkira dengan pelanggan kerana Allah akan menambahkan rezeki apabila ikhlas berniaga.
Lagipun katanya, buat apa jual mahal-mahal kerana ramai orang masih terkesan dengan penangan pandemik dan tidak baik mengambil kesempatan dalam kesempitan hidup orang lain.
Jarang benar boleh berjumpa peniaga seperti ini pada masa kini kerana kebanyakan mereka hanya mahu mengaut untung berlipat kali ganda.
Itu tidak dikira lagi dengan penjual makanan bergoreng seperti pisang goreng yang menggunakan minyak masak peket bersubsidi, bukannya minyak masak botol dan menaikkan harga dengan memberikan alasan kenaikan bahan tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan kenaikan harga barangan turut memberi kesan langsung kepada peniaga makanan termasuk yang mencari ‘sesuap nasi’ di gerai tepi jalan.
Namun, ia bukanlah menjadi alasan mutlak untuk tidak memberikan kuantiti makanan dan harga yang dianggap munasabah kepada pelanggan yang menyokong bisnes mereka di masa susah dan senang.
Kalau orang yang datang membeli berpuas hati dengan apa yang mereka beli, peniaga juga mendapat manfaat dari segi jualan kerana pelanggan tersebut akan terus menyokong bisnes tersebut.