KOTA TINGGI – Mayat seorang lelaki dipercayai telah meninggal hampir dua hari ditemui di jalan tanah merah berhampiran Lebuh Raya Desaru-Senai pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata mayat warga emas berusia 74 tahun itu ditemui orang awam yang melalui jalan berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan di kaki, bahagian kepala belakang dan lelaki berkenaan juga merupakan penduduk tempatan .
“Orang awam maklumkan polis pagi tadi selepas menjumpai satu mayat di jalan tanah merah Lebuh Raya Desaru. Hasil pemeriksaan mayat mungkin sudah hampir dua hari mengambil faktor keadaannya yang belum kembung, belum ada lalat dipercayai lelaki ini meninggal belum sampai 48 jam lagi.
“Jenazah akan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan kita akan tahu sebab punca kematian,”katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.
Jelasnya, pihaknya juga menolak kematian lelaki itu disebabkan pergaduhan namun berdasarkan kesan luka, keadaan lokasi kejadian yang bercerun, tanah keras berbatu juga cuaca tidak hujan sekiranya mangsa terjatuh kemungkinan boleh terseret dan alami luka.
Katanya, barang-barang milik mangsa seperti wang tunai, telefon bimbit dan rokok masih ada dan tidak hilang.
“Keluarga juga sudah hubungi dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Setakat ini juga tiada sebarang tangkapan dilakukan,”katanya lagi.-KOSMO! ONLINE