PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan iklan di media sosial yang kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu ke kelas dan ujian memandu.
JPJ dalam satu hantaran di Facebook berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan satu iklan yang menawarkan ‘lesen terbang’ menerusi aplikasi Telegram.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati iklan berkenaan adalah palsu.
“Menerusi iklan itu, terdapat beberapa kategori lesen yang ditawarkan iaitu Lesen Motosikal Kelas B2, Kelas B, Lesen Motokar Kelas D, Kelas E, Lesen Vokasional GDL dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
“Difahamkan, iklan berkenaan menawarkan lesen memandu pada harga tertentu bermula dari RM350 hingga RM1,900,” katanya. – KOSMO! ONLINE