PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta.
Perintah tahanan reman sehingga 23 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor selepas menerima permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman yang dibuat oleh sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.
“Seorang suspek wanita berusia 50-an bersama dua lagi suspek lelaki berusia 53 dan 58 tahun itu telah ditahan kira-kira pukul 6 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan.
“Suspek wanita tersebut dipercayai telah menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta pada tahun 2010. Suspek lelaki berusia 53 tahun itu kini bekerja sebagai perunding kewangan manakala rakannya pula tidak bekerja,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009,” tegas beliau.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang penahanan tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif di anak syarikat sebuah bank oleh SPRM kerana disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta.
Difahamkan, Suspek wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta ketika berkhidmat dengan anak syarikat sebuah bank pada tahun 2010.- KOSMO! ONLINE