PETALING JAYA – Baru-baru ini, seorang pakar perubatan, Dr. Suhazeli Abdullah memperbahaskan isu mengenai tindakan segelintir doktor yang menjual serta mempromosikan produk kesihatan jenama sendiri atau milik pengasas lain kepada pesakit mereka.
Katanya, sebagai doktor yang berdaftar di bawah Majlis Perubatan Malaysia, mereka seharusnya mengikut tata kelakuan sebagai seorang profesional perubatan.
“Tata kelakuan ini melibatkan perhubungan doktor dengan pesakit sama ada semasa memberikan konsultasi perawatan, pemeriksaan kesihatan, prosedur perubatan dan pendidikan kesihatan yang dijalankan oleh mereka.
“Ia penting bagi mengekalkan seorang profesional perubatan itu kekal relevan di dalam profession mereka dan selayaknya tiada konflik kepentingan antara doktor itu sebagai perawat atau mempromosi ubat atau apa sahaja yang dikaitkan dengan kesihatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Tambah Dr. Suhazeli, sekiranya doktor itu hanya mencadangkan beberapa keperluan ubat sebagai suplemen sampingan pesakit tidak menjadi masalah, namun apabila mereka mempromosikan secara berlebihan dengan mengatakan produk berkenaan mampu menyembuhkan kanser, kencing manis dalam tempoh tertentu adalah perbuatan dilarang.
“Sebab itu doktor-doktor yang faham isu ini tidak mengiklankan ubat kencing manis berjenama tertentu dalam laman sosial masing-masing.
“Padahal ubat-ubatan itu digunakan dalam perawatan seharian mereka. Bahkan semasa menulis preskripsi ubat, doktor-doktor dinasihatkan tulis nama generik ubat berkenaan, bukannya nama komersial,” ujarnya.
Jelasnya, sekiranya doktor berdaftar melanggari sebuah Akta Perubatan yang telah ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin sama ada dilucutkan pendaftaran, diberi amaran atau digantung amalan pada satu tempoh tertentu. – KOSMO! ONLINE