ALOR SETAR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) Pindaan 2022 berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kelulusan rang undang-undang itu bagi memberi lebih keadilan kepada golongan terlibat selain telah mendapat pandangan syarak, para fuqaha, mufti dan pakar-pakar agama.
Menerusi pindaan enakmen tersebut, had umur perkahwinan bagi perempuan dinaikkan daripada 16 ke 18 tahun manakala hukuman poligami tanpa kebenaran mahkamah yang selama ini memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM1,000, ditambah kepada penjara tiga tahun atau denda RM3,000.
“Boleh kahwin di bawah umur 18 tahun tetapi perlu mendapat kebenaran mahkamah. Kita faham terdapat keperluan tertentu contohnya jika perempuan itu terlanjur hingga mengandung dan keluarga masing-masing setuju untuk mereka dinikahkan, boleh pohon kebenaran di mahkamah.
“Pindaan ini dibuat setelah kita menimbang dan mengambil kira beberapa perkara. Dalam beberapa keadaan, ada ramai perempuan bergelar ibu tunggal pada usia terlalu muda, kerana diceraikan suami hanya akibat krisis terlalu kecil dalam keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir Sidang DUN di sini hari ini.
Mengulas mengenai undang-undang berkaitan poligami, Muhammad Sanusi berkata tindakan itu juga memerlukan kebenaran daripada mahkamah.- KOSMO! ONLINE