KUALA LUMPUR – Kaedah penjualan akhbar menerusi mesin layan diri yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Media Mulia Sdn. Bhd. mendapat respon positif daripada orang ramai yang mengakui ia cara paling mudah membeli bahan bacaan itu.
Rata-rata pengguna yang ditemui mengakui, mereka kini mempunyai pilihan untuk membeli akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia sama ada di kedai ataupun menerusi mesin layan diri.
Tinjauan di Stesen Transit Aliran (LRT) Bangsar dan Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) semalam mendapati, orang ramai teruja dengan kehadiran mesin layan diri yang menawarkan pembelian surat khabar.
Pegawai khidmat pelanggan, Suriati Abdul Kadir, 32, berkata, dia sangat kagum dengan pembaharuan berkenaan kerana berjaya mewujudkan sebuah mesin akhbar secara layan diri yang pertama di Malaysia.
“Usaha seperti ini seolah-olah memahami kepadatan masa sebahagian besar masyarakat terutama di Lembah Klang yang sukar ke kedai runcit semata-mata untuk membeli surat khabar.
“Dengan adanya mesin layan diri seperti ini, saya dapat membeli surat khabar sebelum ke tempat kerja,” katanya.
Ujarnya, cara penggunaan mesin tersebut amat mudah dan hanya perlu kurang daripada seminit untuk dapatkan surat khabar.
“Pelbagai pilihan pembayaran diberikan kepada pengguna antaranya menggunakan debit kad, imbasan kod QR atau menggunakan aplikasi e-wallet.
“Cara-cara pembelian turut disertakan sebagai panduan pembeli dan masa serta kos juga dapat dijimatkan,” jelasnya.
Bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT), Atirah, 22, dia sempat membeli akhbar Kosmo! seawal pukul 7 pagi, sebelum memulakan perjalanannya dari KL Sentral ke LRT Datuk Keramat.
“Sudah lebih setahun saya tak beli surat khabar, sebab selalunya tak sempat nak ke kedai dan hanya melanggan Kosmo! secara dalam talian.
“Pagi tadi (semalam), apabila saya nak naik LRT di KL Sentral, saya ternampak mesin layan diri tersebut, dan sebabkan rasa ingin tahu, saya cuba menggunakannya dan beli,” jelasnya.
Pekerja swasta, Hafifi Ahmad Kamal, 29, pula memberi cadangan agar mesin layan diri yang diletakkan di KL Sentral diubah ke kawasan lebih strategik.
Katanya, ruang legar yang dipilih ketika ini kurang dilihat oleh orang ramai kerana lokasinya yang agak terlindung.