PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Be U, iaitu sebuah bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya.
Aplikasi perbankan serba baharu itu membolehkan pengguna menyempurnakan transaksi perbankan mereka dengan lancar tanpa perlu mengunjungi cawangan, selain berperanan memperluaskan lagi keterangkuman kewangan dengan menyasarkan golongan muda dan celik digital.
Tersedia kepada orang ramai sejak pertengahan Jun lalu, Bank Islam menyasarkan antara 350,000 dan 400,000 muat turun, serta pengguna aplikasi Be U dalam tempoh 12 bulan pertama.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi Be U Bank Islam secara percuma melalui Google Play Store serta Apple App Store dan pembukaan akaun Be U melalui platform tersebut tidak melibatkan sebarang caj.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, Be U adalah pencetus perubahan bagi Bank Islam dan industri perbankan Islam.
“Ia adalah produk yang berhasrat untuk reka bentuk semula dan memangkin pertumbuhan masa depan Bank ini dengan memanfaatkan landskap teknologi kewangan yang pesat berubah, sekali gus membolehkan pelanggan mengakses penyelesaian kewangan yang berpatutan dan mudah digunakan.
“Melalui Be U, Bank Islam beralih fokus daripada mementingkan produk kepada sifat mengutamakan pelanggan dalam membentuk produk yang memenuhi keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Muazzam menambah, fungsi atau tawaran baharu dalam aplikasi Be U akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Ini termasuk deposit bertempoh, pasaran gig, kad debit, pengurusan kewangan peribadi, pembiayaan mikro, takaful mikro dan banyak lagi,” ujarnya.