MADRID, Sepanyol – Anggota-anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran hutan yang merebak di barat daya Eropah kelmarin ketika gelombang haba tiada tanda akan reda dengan Britain dijangka mencatatkan suhu tertinggi baharu minggu ini.
Api yang marak di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol memusnahkan beribu-ribu hektar tanah serta memaksa beribu-ribu penduduk setempat dan pelancong melarikan diri.
Ia adalah gelombang haba kedua yang menyerang barat daya Eropah dalam tempoh beberapa minggu. Saintis-saintis menyalahkan gelombang haba dan kemarau sebagai punca cuaca melampau berlaku.
Pihak berkuasa melaporkan sekitar 20 kebakaran hutan masih marak dan di luar kawalan di beberapa kawasan berlainan di Sepanyol dari selatan hingga ke Galicia, barat laut negara itu. Api memusnahkan tanah seluas 4,500 hektar setakat kelmarin.
Kebakaran hutan di Sepanyol telah membunuh sebilangan petugas kecemasan sejak minggu lalu lalu, manakala terbaharu, seorang anggota bomba maut semasa memadamkan api di barat laut negara itu kelmarin.
Di Perancis, situasi bertambah buruk di rantau Girondem barat laut negara itu di mana anggota-anggota bomba berusaha untuk mengawal kebakaran hutan yang memusnahkah hampir 11,000 hektar hutan sejak Selasa lepas.
Kebakaran hutan di Perancis memaksa lebih 16,000 orang termasuk penduduk dan pelancong lari menyelamatkan diri. Sebanyak empat tempat perlindungan telah dibina bagi menempatkan mereka.
Kementerian Dalam Negeri Perancis mengumumkan bahawa pihaknya akan mengerahkan tiga pesawat bom air dan 200 anggota bomba tambahan di samping lebih banyak jentera bomba untuk cuba memadamkan api.
Jabatan meteorologi Perancis menyatakan, suhu mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan di selatan negara itu kelmarin dengan suhu tertinggi diramalkan semalam.
“Berapa kawasan di barat lalu Perancis akan mengalami ‘kiamat’ haba,” kata ahli kaji cuaca, Francois Gourand kepada agensi berita AFP.
Di Sepanyol, anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran besar yang memusnahkan 20,000 hektar hutan dan belukar di Andalusia, kata pemimpin serantau, Juan Manuel Moreno.
Kebakaran itu bermula Jumaat lepas di Banjaran Gunung Mijas, pedalaman Sepanyol dan memaksa sekitar 3,000 orang dipindahkan.
Seorang anggota bomba mati akibat melecur semasa cuba memadam api di wilayah Zamora, barat laut Sepanyol kelmarin.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyuarakan ucapan takziah kepada waris anggota bomba yang terkorban.
Haba melampau itu turut meragut nyawa dua lelaki di Sepanyol hujung minggu lalu.
Seorang lelaki berumur 50 tahun di Torrejon de Ardoz, pinggir Madrid meninggal dunia kelmarin selepas mengalami strok haba semasa bersiar-siar, manakala pada hari sebelumnya, seorang pekerja pembersihan mati akibat strok haba yang dialami semasa bekerja Jumaat lepas.
Di Portugal pula, hampir seluruh negara itu mengekalkan amaran kebakaran hutan walaupun suhu sedikit reda selepas mencecah 47 darjah Celsius sekali gus rekod bulan ini pada Khamis lepas.
Hanya satu kebakaran besar masih gagal dikawal setakat kelmarin di utara negara itu.
Kebakaran tersebut membunuh dua orang, mencederakan sekitar 60 penduduk dan memusnahkan antara 12,000 hingga 15,000 hektar tanah di Portugal. – AFP