fbpx

Pembangkang tolak RUU Sumber Air Perak 2022, minta dikaji semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (duduk, tengah) bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - FOTO: MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Pembangkang menggesa Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 yang dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditarik balik bagi membolehkan kajian terperinci berkenaan enakmen pengurusan sumber air dijalankan.

Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana, banyak perkara yang tidak persetujui oleh pembangkang dalam draf enakmen RUU itu antaranya kuasa pengarah lembaga pengurusan air yang terlalu besar jika enakmen tersebut diluluskan.

“Kami juga bimbang berlaku kenaikan caj penggunaan sekiranya air menjadi komoditi yang bersifat komersial apabila diletakkan di bawah pengurusan pengarah lembaga pengurusan air,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata, kegagalan sesi libat urus yang diadakan bagi pelaksanaan RUUSA yang diadakan sebelum ini juga menjadi antara punca pembangkang menolaknya.

Katanya, sesi libat urus berkenaan hanya dipimpin oleh penasihat undang-undang dan bukan individu yang sepatutnya seperti Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad atau Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak.

Selain itu, katanya, draf RUUSA Perak 2022 disifatkannya sebagai salin dan tampal (cut and paste) daripada enakmen berkaitan pengurusan sumber air Selangor.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, pihak pembangkang tidak menolak bulat-bulat RUUSA yang dibentangkan Saarani, namun disebabkan ia mempunyai terlalu banyak masalah serta tidak sempurna menyebabkan ia sukar diterima.

“Ada yang sukar kita terima di mana antaranya kuasa begitu besar diberikan kepada Pengarah Lembaga Pengurusan Sumber Air dan sekiranya undang-undang ini diluluskan ia akan mewujudkan begitu banyak masalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI