fbpx

Tipu pakej haji: Lima individu direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lima individu yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes tipu pakej haji, 7 Julai lalu. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7 Julai lalu.

Perintah reman dibenarkan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim selepas meluluskan permohonan Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan kes bakal jemaah haji yang terperdaya dengan tawaran visa furada sebuah agensi pelancongan.

“Kita akan menyiasat secara terperinci sebelum berkongsi maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan, yang dipercayai terbabit kes 380 individu yang terkandas di KLIA.

Kelima-lima suspek berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara. Mereka terdiri daripada pemilik agensi pelancongan dan isterinya, ejen serta pekerja di agensi terbabit.

Sebanyak 25 laporan polis diterima di Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM620,000 dan 23 lagi laporan polis diterima di Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM766,500.

Empat lagi laporan polis diterima di Pahang membabitkan kerugian RM874,000, Pulau Pinang (RM32,000), Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) dan Johor.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI