fbpx

Pemandu, syarikat lori langgar 11 kenderaan didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hassan hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini bagi pertuduhan memandu melulu sehingga melanggar 11 kenderaan pada 7 Julai lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan 11 buah kenderaan di Tambak Johor pada 7 Julai lalu.

Tertuduh, Amir Hasan Jalani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan 11 buah kenderaan di Jalan Tambak Johor pada 9.25 pagi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama syarikat Level Hill Auto Parts Sdn. Bhd. menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana membawa lebih muatan yang dibenarkan.

Lori yang dipandu Amir Hasan itu didapati membawa muatan seberat 91,240 kilogram (kg) berbanding 41,000kg yang dibenarkan.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos manakala tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam Bustamam Menon Abdul Hamid Menon.

Zuhainie membenarkan Amir Hasan dan Shee Min, masing-masing diikat jamin RM4,000 dan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 September ini sebagai sebutan semula bagi kedua-dua kes berkenaan.

Pada 7 Julai lalu, lori membawa muatan habuk batu itu dipercayai hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek.

Video kemalangan melibat lori serta sembilan buah kereta termasuk kereta bernombor pendaftaran asing dan masing-masing satu van dan bas itu turut tular di laman sosial.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula negatif dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI