KLANG – Gambar atau video perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah secara haram di sekitar daerah ini akan disiarkan kepada umum.
Rakaman itu akan dihebahkan menerusi platform khas media sosial yang bakal diwujudkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam tempoh terdekat.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya mahu memperhebatkan kempen memerangi sampah melibatkan komuniti setempat bagi mengatasi isu yang berlaku sejak sekian lama itu.
Katanya, MPK mahu meningkatkan kesedaran masyarakat secara serius dan agak agresif kali ini.
“Kita akan menggunakan media sosial untuk menyiarkan perilaku individu pengotor dan tiada kesedaran sivik.
“Orang ramai boleh menghantar video atau gambar ke platform yang akan disediakan kelak untuk disiarkan kepada umum,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norfiza, tabiat masyarakat tidak berdisiplin dan mengabaikan aspek kebersihan antara punca masalah pengurusan sampah masih menjadi isu kritikal di Bandar Diraja berkenaan.
“Sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan isu lebih besar termasuk masalah kesihatan penduduk.
“Selain itu, tidak mustahil Klang kelak juga akan dikenali sebagai ‘daerah sampah’,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) MPK turut akan memperhebatkan operasi kutu sampah dan penguatkuasaan sampah haram menerusi pemantauan berterusan di lokasi yang telah dikenalpasti.
“Kerjasama dan sokongan masyarakat amat diharapkan dalam memastikan isu itu dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE