fbpx

Influenza: Rosak organ dan kematian jika dehidrasi tidak dirawat segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengamal perubatan klinik swasta, Dr. Mansor Ramli.

PETALING JAYA – Dehidrasi atau kehilangan air berlebihan dialami pesakit influenza perlu dirawat segera dan jika tidak, ia boleh menyebabkan risiko kerosakan buah pinggang, jantung dan paru-paru bahkan kematian.

Pengamal perubatan klinik swasta, Dr. Mansor Ramli berkata, dehidrasi berlaku apabila virus tersebut menyebabkan kehilangan air dalam badan ditambah pesakit tidak boleh makan dan minum kerana tiada selera.

“Bila demam dan anak tidak mahu makan serta minum, mereka akan cepat letih dan kadangkala muntah serta cirit-birit. Muntah dan cirit-birit ini campur tidak mahu makan dan minum, campur lagi virus sebabkan kehilangan air maka senang untuk dehidrasi.

“Anak kita akan hilang banyak air dan kalau tidak dirawat segera (masuk air), boleh rosakkan buah pinggang, rosak jantung dan paru-paru serta boleh juga menyebabkan kematian,” katanya pada perkongsian video di laman sosial.

Beliau berkata, influenza juga tidak berkesan dengan rawatan antibiotik dan sekiranya berjumpa doktor serta diberikan ubat tersebut, ia tidak akan berkesan.

“Memang tidak berkesan tapi kadang-kadang kalau kita tengok masuk hari ketiga atau keempat, kuman itu pergi ke paru-paru atau bahagian tekak. Masa itu doktor boleh beri antibiotik namun, kebanyakannya tidak berkesan.

“Apa yang kita boleh bagi kepada anak-anak untuk merawat influenza? Jadi boleh bagi antivirus tetapi tidak semua kes boleh diberikan dan untuk matikan virus itu, selalunya di hospital. Klinik swasta tidak bagi dan kita tidak amalkan antivirus untuk pesakit yang ada jangkitan virus.

“Kalau pergi hospital, kuman itu sudah pergi paru-paru dan masuk dalam darah serta sudah ada beberapa peringkat seperti tiga hari demam agak panas, doktor akan lihat dan beri antivirus sekiranya pesakit memang memerlukannya,” jelasnya.

Ujarnya lagi, doktor juga akan memasukan air (drip) ke dalam badan pesakit disebabkan influenza menyebabkan badan kehilangan air sekali gus menjadi letih.

Sementara itu, Dr. Mansor turut memberi panduan kepada ibu bapa terutama yang tinggal jauh dari hospital dalam memberi rawatan awal kepada anak sementara berjumpa doktor.

“Beri ubat demam dan kerap jelum anak. Dua jam selepas itu, mandikan anak serta pastikan mandi dengan kerap sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Yang penting sejuk badan dahulu barulah mandi dan jangan mandi ketika panas.

“Selain ubat demam, beri vitamin C jika ada atau air buah-buahan yang boleh berikan vitamin C serta bagi mereka minuman sejuk. Beri minuman manis, berperisa atau aiskrim kerana selalunya influenza menyebabkan anak hilang selera makan dan sakit tekak, jadi beri air manis, berlemak ada perisa,” katanya.

Beliau turut melarang memberi minuman panas, selain makanan pedas bercili serta berasa masam.

“Kalau boleh beri minum banyak untuk menyejukkan badan segera, insya-Allah kita boleh kurangkan komplikasi dan cepat sembuh. Selalunya lima hingga tujuh hari ia baik sendiri.

“Selepas sembuh, cuba dapatkan vaksinasi influenza di klinik, rasanya banyak klinik sudah habis dan dengar cerita klinik kerajaan sudah habis. Orang tua, mengandung pun boleh dapatkan tetapi lebih utama untuk anak-anak kita mahu ke sekolah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI