fbpx

Gadis Kampus: Nur Amirah Alya bakal ke Korea, galas cabaran sains, teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gadis yang bakal melanjutkan pengajian di Korea Selatan ini mahu menjadi seorang penganalisis data satu hari nanti.

SOPAN santun dan kelihatan agak pemalu, namun siapa sangka gadis ini sebenarnya seorang yang bijak dan petah berkata-kata.

Setiap bait perkataan diucapkan penuh pendirian.

Bahkan sejak di bangku sekolah lagi, pemilik nama Nur Amirah Alya Zamri ini merupakan seorang pelajar cemerlang apabila sering mendapat keputusan memberangsangkan dalam setiap peperiksaan besar.

Lebih membanggakan apabila dia juga pernah diberi kepercayaan oleh guru untuk menjadi mentor dalam subjek-subjek yang agak sukar seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Pun begitu, anak sulung daripada empat beradik ini berjaya menggalas amanah yang diberikan dengan sempurna dan tidak berasakan ia satu bebanan.

Sebaliknya, Nur Amirah Alya Zamri menjadikannya sebagai batu loncatan untuk turut sama mengulang kaji subjek-subjek tersebut sehingga memperoleh keputusan yang diimpikan iaitu 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Mengambil jurusan asasi dalam Sains dan Teknologi untuk Korean University di bawah UniKL MIIT menerusi program YTP Mara Pre-Korea, gadis ini bakal berkelana ke negara tersebut seawal Mac tahun depan untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Saya menikmati zaman kanak-kanak dengan pelbagai jenis alat permainan dan membesar dengan membaca buku terutamanya buku cerita serta karangan pendek bahasa Inggeris.

“Minat saya terhadap buku telah ditanam sejak usia empat tahun, yang mana pada waktu itu sudah pandai membaca dan bertutur dalam kedua-dua bahasa, Melayu dan Inggeris.

“Membaca buku akhirnya menjadi hobi hingga kini. Saya menjadikan pengumpulan koleksi novel menjadi kepuasan dan kegembiraan buat diri sendiri.

“Oleh sebab itu, pembelajaran menjadi perkara yang agak mudah buat saya ketika di sekolah rendah walaupun ketika itu, lebih banyak bermain dengan rakan-rakan berbanding mengulang kaji pelajaran,” kongsinya.

Bagaimanapun, pelajarannya mula mengalami kemerosotan sewaktu gadis berusia 19 tahun itu mula memasuki peringkat Menengah Rendah.

Mendapat kepercayaan penuh daripada kedua-dua ibu bapanya. Nur Amirah Alya bangkit dengan azam baharu sehingga berjaya memperoleh 10A dalam ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2018.

Dia berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran sehingga ke hari ini.

Selepas pelajaran merosot ketika mula memasuki peringkat menengah, gadis manis ini bangkit mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

Mahu bergelar penganalisis data satu hari nanti membuatkan gadis ini mengambil keputusan untuk mendalami bidang sains dan teknologi.

Bercerita lanjut menurut Nur Amirah Alya, selain bidang itu yang membuka peluang pekerjaan lebih luas, gadis tersebut memilih melanjutkan pengajian dalam bidang itu sebagai nilai tambah dalam diri yang mungkin tidak ramai yang memilikinya iaitu penguasaan bahasa ketiga, Korea.

“Di samping mempelajari subjek seperti Fizik, Kimia dan pengaturcaraan, belajar bahasa Korea menambahkan satu keseronokan kepada saya.

“Tambahan pula, Korea Selatan merupakan negara yang terkenal dengan pembangunan dalam bidang teknologi yang boleh dicontohi untuk kebaikan negara kita.

“Oleh itu, saya berharap agar hasil pembelajaran saya di sana sepanjang empat tahun nanti akan menjadi sesuatu yang berguna untuk rakyat Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Berkongsi lanjut menurut Nur Amirah Alya ini lagi, dia menyedari kebanyakan anak muda hari ini mula menunjukkan minat terhadap perkara berkaitan teknologi seperti teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.

Katanya, minat tersebut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama kerajaan dan swasta yang banyak melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan.

“Keadaan ini tentunya menjadi titik permulaan bagi negara kita untuk lebih maju dan membangun dari segi teknologi khususnya sistem komputer dan data.

“Selain mengusahakan pembangunan arkitek di Malaysia, pembangunan dalam bidang teknologi juga memberi sumbangan terhadap keberkesanan sesuatu sistem dalam pelbagai bidang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, situasi tersebut menjadikan setiap pengurusan dalam sesuatu bidang atau industri lebih sistematik dan teratur.

Malah, selain mempelajari ilmu-ilmu tersebut, satu amalan dan pemikiran yang positif haruslah diterapkan sekali demi pembangunan sahsiah.

“Sains dan teknologi merupakan bidang yang luas yang turut menyediakan peluang perkerjaan yang banyak dan sudah pastinya saya tidak akan melepaskan peluang tersebut.

“Dengan meneruskan kerjaya saya dalam bidang ini, saya yakin banyak manfaat yang boleh diberikan kepada negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI