WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Joe Biden meluluskan perjanjian penjualan senjata dengan Taiwan termasuk alat ganti kenderaan berperisai serta bantuan teknikal, yang dilihat berpotensi meningkatkan lagi ketegangan antara dengan China dengan pulau tersebut, lapor laman berita RT, kelmarin.
Jabatan Negara AS meluluskan transaksi itu yang berjumlah sehingga AS$108 juta (RM480.49 juta) atas permintaan Taiwan, dedah Pentagon pada Jumaat lalu.
Pesanan dengan penghantaran berkala itu akan merangkumi alat ganti untuk kereta kebal dan kenderaan-kenderaan tempur lain. Ia turut melibatkan perkhidmatan sokongan teknikal dan logistik yang disediakan kerajaan AS serta kontraktor-kontraktornya.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Negara AS kerana meluluskan pesanan tersebut,” kata Kementerian Pertahanan Taiwan.
Kementerian berkenaan menambah, perjanjian tersebut adalah berdasarkan undang-undang persekutuan bagi obligasi Washington untuk membantu Taipei dalam mempertahankan diri serta prinsip ‘Enam Jaminan’, di mana AS berjanji untuk menjual senjata kepada Taiwan tanpa berunding dengan China.
Perjanjian senjata terbaru itu akan meningkatkan kebolehoperasian tentera Taiwan dengan tentera-tentera Amerika dan sekutu-sekutu lain, demikian menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA).
“Cadangan jualan itu akan menyumbang kepada pengekalan bekalan kenderaan, senjata kecil, sistem senjata tempur dan item-item sokongan logistik kepada penerima selain meningkatkan keupayaannya untuk ancaman semasa dan masa depan,” kata DSCA.
Pegawai-pegawai Taiwan telah memberi amaran mengenai ‘ancaman ketenteraan yang semakin meluas’ dari China yang mungkin menyebabkan penyatuan semula berlaku secara kekerasan. – Agensi