fbpx

Joe Biden cuba ‘menangi hati’ Palestin, pemimpin Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden dan para pemimpin negara-negara Asia Barat bergambar semasa Sidang Kemuncak Keselamatan dan Pembangunan Jeddah di Arab Saudi kelmarin. - AFP

RAMALLAH, TEBING BARAT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membuat lawatan ke Baitul Laham, Tebing Barat, Jumaat lalu dengan membangkitkan retorik bagi keamanan antara Palestin dengan Israel, namun prospek bagi pencapaian tersebut dilihat sukar dicapai, lapor Badan Penyiaran British (BBC).

Dalam mesyuarat dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Biden menegaskan semula komitmen jangka panjangnya bagi idea untuk mewujudkan negara Palestin yang bebas.

Namun, beliau berkata, keadaan buat masa ini dilihat tidak bersesuaian untuk memulakan semula rundingan damai.

Sebagai respons, Mahmoud berkata, peluang untuk penyelesaian dua hala bagi konflik Palestin-Israel mungkin tidak akan kekal untuk tempoh yang lama.

Washington telah cuba untuk memperbaiki hubungan dengan Palestin yang telah musnah di bawah pentadbiran AS terdahulu.

Justeru, bagi trip lawatan kali ini, Biden mengumumkan beberapa bantuan ekonomi serta sektor-sektor lain seperti mewujudkan perkhidmatan rangkaian telefon 4G.

Antaranya adalah Washington akan menyalurkan bantuan berjumlah AS$100 juta (RM444.9 juta) bagi membantu sebuah hospital di Palestin, yang menjadi pusat rawatan kanser untuk pesakit di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Selepas mengakhiri lawatannya ke Tebing Barat, Biden terbang ke Arab Saudi, yang juga merupakan sebahagian daripada lawatan kerja empat hari beliau ke rantau Asia Barat.

Menurut agensi berita United Press International, di Jeddah, Biden membentangkan visinya untuk peranan AS di rantau tersebut ketika sidang kemuncak bersama pemimpin-pemimpin negara Teluk pada hari terakhir lawatan, kelmarin.

Visi itu termasuk meningkatkan keselamatan makanan serantau, menangani kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine terhadap pasaran tenaga serta melaksanakan perlindungan yang lebih kukuh bagi pelanggaran hak asasi manusia.

Selain itu, Biden turut mengumumkan bantuan keselamatan makanan berjumlah AS$1 bilion (RM4.45 bilion) untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara berikutan krisis kelaparan teruk yang sebahagiannya disebabkan oleh perang Russia-Ukraine.

“Amerika Syarikat tidak akan kemana-mana,” kata Biden.

Beliau pada kelmarin bertemu dengan pemimpin Mesir, Iraq dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk yang dihadiri pemimpin dari Bahrain, Arab Saudi, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI