MELAKA – Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar selesai menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam selama tiga hari di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Azwan, 30, ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau telah mempelajari pelbagai kemahiran asas penyelamatan termasuk bantuan pernafasan (CPR) dan ikatan tali di saat kecemasan.
“Sekarang ni saya rasa lebih yakin untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa bencana terutamanya melibatkan banjir kerana telah belajar ilmu asas penyelamatan.
“Saya sudah tahu bagaimana cara memberikan CPR dan ikatan simpul mati dengan lebih baik, selain menjadi lebih berdisiplin yang mana pengalaman ini tidak dapat di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 2/2022 di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, hari ini.
Tambahnya, sebelum ini dia hanya dapat memberikan bantuan memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara kerana tidak mempunyai keberanian menghadapi situasi lebih getir.
“Dulu kalau nampak orang pengsan, saya memang tak berdaya nak membantu sebab tak tahu bagaimana caranya, lagi pun saya bergerak secara solo.
“Selepas menjalani kursus ini bolehlah saya bergerak dengan pasukan APM dan membantu orang ramai menggunakan ilmu yang telah dikongsikan,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 2/2022.
Terdahulu, kursus tersebut disertai 42 peserta terdiri daripada guru, pelajar tingkatan enam dan orang awam. – KOSMO! ONLINE.