AKTOR terkenal Indonesia, Randy Pangalila mengakui rindu untuk kembali berlakon di Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya sejak bergelar anak seni.
“Sejujurnya saya cukup merindui untuk berlakon di Malaysia, malah sudah ada perbincangan untuk menghasilkan beberapa projek di sana seperti Gantung The Series musim kedua.
“Cuma, semuanya terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.
“Dalam keadaan yang semakin pulih ini, saya harap apa yang tergendala akan dapat diteruskan seperti direncana kelak,” katanya.
Menurut Randy, berpeluang berlakon di Malaysia juga satu pengalaman yang berharga dan menyeronokkan, sehingga melonjakkan namanya dalam kalangan peminat di sini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pembabitannya dalam filem terbaharunya, Perjalanan Pertama, Randy, 32, memberitahu, itu adalah satu penghargaan buat dirinya apabila dapat bergandingan dengan pelakon hebat Malaysia seperti Datuk Ahmad Tamimi Sirergar.
Ujarnya pemilik nama lengkap Randy Dionisius Pangalila itu, biarpun peranannya dalam filem berkenaan tidak besar, tetapi dia tertarik menerima tawaran berkenaan bersandarkan mesej yang ingin disampaikan menerusi filem arahan sutradara Arief Malinmudo tersebut.
“Sebaik membaca skrip filem ini, saya lantas tertarik dengan mesej kekeluargaan yang disampaikan, berkisar tentang hubungan antara datuk dan cucu yang jarang dipertontonkan.
“Soal filem ini berbajet besar atau tidak, watak kecil atau sebaliknya, tidak penting, apa yang lebih utama mesej dalam penceritaannya itu,” ujarnya yang memegang watak sebagai Mukhtar.
Selain Randy dan Ahmad Tamimi, filem Perjalanan Pertama turut dibintangi beberapa pelakon lain seperti Muzakki Ramdhan, Adinda Thomas dan Gilang Dirga.
Diterbitkan menerusi usahasama syarikat D’Ayu Pictures (Malaysia) dan Mahakarya Pictures (Indonesia), Perjalanan Pertama sudah pun menemui penonton di Indonesia bermula 14 Julai lalu, seterusnya bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 18 Ogos ini.