LONDON – Kelibat penyerang sensasi Brentford, Ivan Toney berjaya menarik minat beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Newcastle United, West Ham United dan Leeds United secara terbuka mengakui bersedia untuk bersaing.
Kejayaan Toney meledak 14 gol dan mencipta enam umpanan gol sepanjang musim lalu menyebabkan ketiga-tiga kelab berkenaan percaya bahawa kehadirannya mampu memberikan lebih sengat di bahagian serangan.
Terbaharu, gergasi EPL, Manchester United dilaporkan bersedia untuk menyertai perlumbaan untuk mendapatkan penggempur tersebut apabila membuat keputusan untuk memantau perkembangan dan meneroka potensi perpindahannya.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang tawaran dikemukakan oleh kelab berkenaan kerana mereka perlu menunggu perkembangan mengenai masa depan dua penyerangnya, Anthony Martial dan Cristiano Ronaldo.
United dipercayai akan mengemukakan bidaan sekiranya berjaya menjual Martial atau terpaksa melepaskan Ronaldo yang dilaporkan mahu meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini.
Newcastle pula sedang berusaha untuk membina pasukan yang lebih ampuh dan pengurus mereka, Eddie Howe percaya kehadiran Toney mampu menambah kualiti khususnya di bahagian serangan mereka.
Sementara itu, pengendali West Ham, David Moyes sudah berada dalam empat pasaran perpindahan untuk mendapatkan penyerang termasuk pada kali ini dan dilaporkan sangat meminati Toney.
Brentford pula dilaporkan keberatan untuk melepaskan penyerangnya itu yang menjadi tonggak penting Thomas Frank, namun mereka mungkin tidak mampu menolak sekiranya mendapat tawaran yang benar-benar lumayan. – AGENSI