fbpx

Beraksi dengan otai, impian Noh Salleh tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOH SALLEH

BERPELUANG berkongsi pentas gah di Zepp Kuala Lumpur bersama dua buah kumpulan tersohor dianggap sebagai satu impian jadi nyata buat penyanyi Noh Salleh.

Dia bakal beradu tenaga bersama Spider dan XPDC menerusi penganjuran Konsert 3 Generasi yang akan berlangsung pada 27 Ogos depan.

Teruja menanti detik bersejarah tersebut, Noh memberi fokus terhadap keampuhan stamina bagi menampilkan persembahan terbaik untuk beraksi sebaris penghibur ‘otai’.

Bagi penyanyi berusia 37 tahun itu, penampilan solo di sebuah gelanggang bertaraf antarabangsa menyuntik aura berbeza, sekali gus menggandakan rasa teruja membuat persediaan.

“Bagi memastikan stamina berada pada tahap terbaik, saya sudah pun membeli basikal. Saya ada gerd, sukar nak berlari. Setakat ini saya mula berbasikal dan menjalani latihan kardio.

BERAKSI solo tanpa kumpulannya, Hujan pada Konsert 3 Generasi, Noh teruja kerana menampilkan lagu-lagunya yang bergenre lain.

“Dari segi vokal pula sejak mula-mula muncul solo, memang ada guna khidmat guru vokal. Sekarang tidak, sebab untuk konsert nanti saya bawa lagu lama.

“Sejak bersama Hujan lagi amanah naik ke pentas saya penuhi sebaik-baiknya kerana memerlukan stamina yang maksimum.

“Artis lain pun patut fikir benda itu. Orang bayar (tiket) untuk tonton persembahan, bukan tengok awak pancit,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama adalah kumpulan Spider dan XPDC selain wakil daripada pihak penganjur daripada YOLO Asia, Ib Harun, Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah dan Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd. Taufik.

Konsert 3 Generasi merupakan kesinambungan YOLO Live Session iaitu sebuah platform acara yang diwujudkan bagi menyokong pengkarya muzik kembali beraksi di pentas langsung selepas musibah Covid-19.

Ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), YOLO Malaysia pernah mengelolakan lima buah konsert atas talian bawah YOLO Live Session yang meraih sambutan memberangsangkan.

Ditanya mengenai ketiadaan anggota kumpulannya Hujan pada konsert tersebut, akui Noh, memang terdetik rasa sedih tanpa rakan seperjuangan selama ini.
Pada masa sama Noh menganggap itu semua sebagai penghormatan buatnya beraksi solo di pentas gah berkenaan.

KUMPULAN Spider, XPDC dan Noh Salleh bergambar bersama wakil penganjur Konsert 3 Generasi iaitu YOLO Malaysia pada sidang akhbar konsert berkenaan baru-baru ini. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Paduan vokal

“Saya rasa terhormat sebab kali ini tonjolkan lagu Noh Salleh yang berlainan genre.

“Pada masa sama peminat pun dapat atau bertukar pengalaman menyaksikan persembahan band lain,” ulasnya.

Sementara bercakap mengenai konsep persembahan, Noh berkata, semuanya masih diperincikan, namun dia berharap dapat berpadu vokal dengan Tam Spider dan Mail XPDC jika berpeluang.

“Kami mempunyai ‘sound’ berbeza dan alangkah bagus jika semasa penutup konsert nanti ada dua buah lagu tambahan yang boleh kami sampaikan bersama-sama.

“Saya membesar dengan lagu Mail. Seronok dapat kongsi pentas. Mimpi jadi nyata ditambah pula dapat buat persembahan di Zepp yang bertaraf dunia. Saya memang tunggu peluang ini,” katanya lagi.

Tiket-tiket konsert dijual pada harga mengikut beberapa kategori iaitu Rockzone berharga RM328, Free Standing (RM288) dan Category A Seating berserta sesi ramah mesra (RM338).

Tiket Category B Seating dijual pada harga RM318 dan SVIP Private Box pula berharga RM6,288.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI