fbpx

Hera Esports pasang impian besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HERA Esports yang dianggotai oleh semua pemain wanita memasang impian untuk menjadi kumpulan tersohor dalam e-Sukan di Malaysia.

WALAUPUN sering berdepan masalah penajaan tetapi ia langsung tidak melunturkan sema­ngat lima pemain permainan video Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile dengan membentuk sebuah pasukan diberi nama Hera Esports.

Sebaliknya, situasi tersebut meningkatkan lagi keazaman skuad yang ditubuhkan pada Mac tahun lalu itu untuk cuba menempa nama dalam kejohanan-kejohanan besar sekali gus membuka peluang mendapat penaja-penaja baharu.

Kapten Hera Esports, Anis Safiyah Mohd. Helmey yang lebih mesra disapa Anees mendedahkan, impian mereka berlima adalah untuk muncul sebagai antara pasukan wanita PUBG Mobile terbaik pernah wujud dalam industri e-Sukan di Malaysia.

“Kami memang menyasarkan peringkat besar seperti Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia/Singapura (PMPL MY/SG) dan sebagainya untuk bertanding de­ngan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman.

“Cuma kami masih tiada rezeki ke arah itu selepas tidak layak ke PMPL MY/SG S2 (musim ke­dua) baru-baru ini. Namun, kami tidak pernah berputus asa dan akan cuba lebih baik lagi pada musim baharu nanti,” katanya.

Gadis berusia 20 tahun itu turut menjelaskan, Hera Esports masih lagi kekal sebagai satu pasukan dan tidak berpecah walaupun kini beraksi sebagai pemain bebas tanpa naungan di bawah mana-mana organisasi dan penaja.

Menurutnya, Hera Esports terbuka menerima penaja-penaja baharu termasuk dari luar negara dan pada masa sama lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berulang selepas ini.

“Kami pernah berada di bawah naungan Orange Esports sebelum kami keluar atas persetujuan bersama kerana sebab-sebab tertentu. Selepas itu, prestasi kami meningkat dan berjaya menang banyak kejohanan.

“Kemudian kami dilamar Waisu Esports selama tiga bulan sebagai permulaan. Namun, bukan rezeki kami untuk bertahan lebih lama di bawah Waisu Esports walaupun kami berjaya membawa nama ke peringkat tinggi.

“Sekarang kami masih berun­ding dengan penaja baharu tetapi banyak perkara perlu diambil kira antaranya dari segi kontrak pemain kerana kami perlu me mikirkan juga mengenai jangka masa panjang pasukan,” jelasnya.

Selain Anis Safiyah, Hera Esports turut dibarisi Wan Nor Emylia Wan Mohd. Zani dengan gelaran Mimel, 23, Nur Fifi Natasha Ismadi (Eevee), 22, Fatin Amisa Mohd. Narawi (Ica), 18, dan Aisya Syahiera Syahreel (Rysya), 15.

Sebagai rekod, Hera Esports hanya memberi fokus kepada PUBG Mobile berbanding permainan-permainan video genre pertempuran atau penembak pertama (FPS) lain yang menggunakan telefon seperti Mobile Legends atau Call of Duty:Mobile.

“PUBG Mobile adalah antara permainan yang paling senang difahami dan dimainkan. Malah, peluang kami lebih besar dengan PUBG Mobile dan sememangnya kami selesa bermain permainan di telefon berbanding komputer,” kata Anis Safiyah.

Ia terbukti apabila Hera Esports pernah menduduki tempat kelapan Kejohanan PUBG Mobile Malaysia 2020 (PMNC) pada Julai lalu hingga mendapat jemputan terus beraksi pada Liga Profesio­nal PUBG Mobile Asia Tenggara Wanita (PMPL SEA Ladies) 2020 bulan lalu.

Lebih membanggakan, Hera Esports yang muncul satu-satunya wakil Malaysia pada kejohanan itu berjaya meraih tempat ketiga di belakang juara dari Thailand, LittleGroot EUFROSINE dan pasukan Indonesia, Aerowolf Zoo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI