LUMUT – Seorang suri rumah berputih mata apabila sebahagian wang yang mahu digunakan untuk membiayai pembedahan suaminya lesap selepas diserahkan kepada seorang lelaki mengaku sebagai ‘pegawai khas’ Ahli Parlimen Beruas tengah hari semalam.
Wanita berusia 28 tahun itu memberitahu kira-kira pukul 11.30 pagi, seorang lelaki menaiki kereta BMW hitam datang ke rumahnya di Sitiawan, ingin melihat keadaan suaminya yang terlantar kerana terdapat ketumbuhan dalam kepala.
“Lelaki yang mengaku sebagai pegawai khas kepada Datuk Ngeh Koo Ham, memberitahu suami akan menerima cek bantuan RM15,000 tetapi kerani tersilap tulis RM23,000 pada cek tersebut, jadi dia meminta saya membuat pulangan duit berjumlah RM8,000.
“Saya kemudian pergi ke Public Bank Sitiawan dengan suspek pada pukul 12.19 tengah hari dan membuat pindahan wang melalui kad Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) berjumlah RM3,500 ke akaun Bank Hong Leong atas nama Lee Hee Lang, dan mengeluarkan wang tunai RM4,500 dan serahkan kepadanya,” katanya.
Wanita itu bercakap pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Astaka dan Parlimen Beruas di Kampung Koh, Sitiawan hari ini.
Menurut suri rumah itu, lelaki itu kemudian meminta beliau pergi ke pusat khidmat tersebut untuk mengambil cek tersebut tetapi mendapati ia ditutup.
Selepas menunggu hampir dua jam, beliau kemudian menghubungi Thinagaran dan memberitahu perkara tersebut sebelum menyedari telah ditipu selepas dimaklumkan suspek bukan pegawai khas wakil rakyat tersebut.
Beliau sedih dan merasa sakit hati kerana wang tersebut juga sebahagian sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan suaminya yang dianggarkan melibatkan kos lebih RM50,000 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE