fbpx

Kumpulan pertama jemaah haji tiba esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 14,305 jemaah haji negara akan memulakan perjalanan pulang ke tanah air secara berperingkat dengan penerbangan pertama dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 9 pagi esok.

Kepulangan rombongan jemaah haji bagi Musim Haji 1443H/2022M pertama negara itu juga bakal disambut dalam Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Pertama (KT01) anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di KLIA.

Majlis sambutan itu adalah yang pertama kalinya diadakan selepas dua tahun susulan penangguhan penghantaran jemaah Malaysia ke Tanah Suci Mekah berikutan penularan virus Covid-19 yang mengakibatkan pintu sempadan Arab Saudi ditutup.

Tambah menarik, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) turut membenarkan jemaah haji yang hendak pulang ke negara masing-masing untuk membawa air zamzam menaiki penerbangan.

Pengurusan lapangan terbang itu seperti yang dilaporkan akhbar Saudi Gazette pada 10 Julai lalu berkata, setiap jemaah bagaimanapun hanya dibenarkan untuk membeli botol air zamzam 5 liter di mana-mana ruang jualan dalam bangunan KAIA.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada 14 Julai lalu berkata, seramai 14,305 jemaah negara telah mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah tahun ini yang terdiri daripada 85 peratus di bawah pakej muassasah dan 15 peratus lagi pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah TH. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI