fbpx

Orang Melayu sensitif isu agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar beberapa rakaman individu yang tular di media sosial apabila bertindak menghina agama Islam.

MARAN – Semua pihak diminta tidak melakukan sebarang provokasi atau menyentuh perkara yang bersabit penghinaan terhadap Islam yang sudah tentu menyentuh sensitiviti umat Islam yang boleh menggugat keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sebarang bentuk kandungan yang ‘mengusik’ agama sama ada berlaku terang-terangan atau menerusi media sosial perlu dielakkan.

“Sekiranya dibiarkan berterusan berkemungkinan akan berlaku tindak balas yang tidak diingini dalam kalangan umat Islam sendiri di negara ini yang begitu peka dengan beberapa isu berkaitan agama.

“Bab agama (Islam) atau akidah orang Melayu amat sensitif. Walaupun ada dalam kalangan orang Melayu yang tidak pernah mendirikan solat atau tidak pernah pergi ke masjid, tetapi sekiranya ada pihak yang ingin membakar masjid atau merosakkan agama, mereka ini akan menentang habis-habisan kerana (mereka) berkenaan sayangkan agama,” katanya selepas menyampaikan bantuan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kepada 100 orang asnaf dan penduduk kurang berkemampuan di Masjid Bandar Tun Razak Jengka di sini hari ini.

IDRIS Ahmad (dua dari kanan) beramah mesra dengan seorang penduduk asnaf ketika menyampaikan bantuan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Bandar Tun Razak, di Maran semalam.

Menurut Idris, orang Melayu sudah dididik (ditanam) dengan semangat serta perasaan cintakan atau sayangkan agama Islam oleh ulama dan pendakwah sejak dahulu lagi menyebabkan mereka tidak sesekali membiarkan agama (Islam) dihina dan diperkotak katikkan.

“Sebab itulah penjajah British dapat bertapak di negara ini dalam tempoh yang lama kerana mereka tidak usik hal agama malahan diserahkan kepada legitimasi raja atau sultan, manakala British cuma memfokuskan pentadbiran yang diketuai oleh Residen seperti intipati dalam Perjanjian Pangkor 1874.

“Saya harap isu menyentuh agama Islam tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang dan kes yang telah berlaku baru-baru ini sudahpun dalam siasatan pihak berkuasa dan hukuman bagi mereka terbabit nanti merupakan pengajaran kepada semua pihak.”katanya.

Dalam kata lain, Idris memaklumkan seramai 14,303 orang jemaah haji yang mengikuti secara muassasah telah dapat menunaikan wukuf di Arafah dengan selamat serta selesai mengerjakan haji walaupun sejumlah kecil sahaja yang sakit dan dirawat.

Katanya, keadaan ini kerana kejayaan Tabung Haji yang dapat menguruskan persiapan semua jemaah dengan baik dan teratur termasuk kebajikan mereka semasa berada di tanah suci.

“Kerajaan Arab Saudi terutamanya media di sana sangat menghargai usaha Tabung Haji menerusi sistem pengurusan para jemaah yang dianggap terbaik dan dicontohi serta mereka memuji disiplin yang ditunjukkan oleh jemaah dari Malaysia,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, ketika menghadiri satu persidangan berkaitan pengurusan haji di Arab Saudi dalam musim haji baru-baru ini, Malaysia mendapat penghargaan daripada kerajaan dan media di negara itu mengenai program membersihkan khemah yang dilakukan oleh para jemaah di bawah pengurusan Tabung Haji sejak 2017.

Tambahnya, Malaysia antara negara pertama yang diberi kebenaran oleh Kementerian Haji Arab Saudi untuk melaksanakan rawatan ke atas jemaah di hospital Malaysia di sana serta pembedahan ke atas jemaah yang yang sakit dan memerlukan rawatan kecemasan.

“Malahan kita (Malaysia) antara negara Islam diberi kebenaran oleh Kementerian Haji Arab Saudi supaya memilih (menetap) masa melontar jamrah dan menerusi pengurusan Tabung Haji di sana memilih waktu antara pukul 8 hingga 9 malam untuk jemaah haji kita,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI