PETALING JAYA – Akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia terbitan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) kini boleh dibeli melalui mesin layan diri yang diletakkan di lokasi strategik di sekitar Lembah Klang.
Ia merupakan program perintis yang dilaksanakan oleh Media Mulia dengan kerjasama syarikat pengendali layan diri makanan dan minuman (F&B) Atlas Vending.
Dengan mesin layan diri yang beroperasi 24 jam tersebut, orang ramai boleh mendapatkan naskhah Kosmo! dan Utusan Malaysia lebih awal sebelum kedai-kedai dibuka.
Sebagai tambahan, setiap belian naskhah Kosmo! atau Utusan Malaysia yang dijual melalui mesin layan diri akan mendapat dua sachet Kopi Segera Wonda secara percuma.
Antara lokasi terlibat adalah KL Sentral, Stesen LRT Bangsar dan Ampang Park bagi memudahkan pengguna pengangkutan awam mendapatkan bahan bacaan akhbar harian.
Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, masih terdapat pasaran untuk akhbar fizikal walaupun pembaca beralih ke platform dalam talian.
“Akhbar utama di seluruh dunia meneruskan edisi cetak mereka kerana bentuk fizikal akhbar itu mengukuhkan standard dan kualiti kewartawanan yang dikagumi untuk berabad. Kami akan terus menyokong standard yang sama sebagai organisasi media dipercayai.
“Media Mulia berbesar hati bekerjasama dengan syarikat inovatif seperti Atlas Vending bagi memoden dan meningkatkan kemudahan pembelian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.
“Kami akan terus mencari titik sentuh baharu dalam pengedaran produk kami pada masa hadapan. Kopi Segera Wonda yang turut disertakan dalam setiap pembelian melengkapkan ritual harian istimewa iaitu memegang senaskhah akhbar bersama secawan kopi yang enak di sisi anda,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., Amy Gan berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Media Mulia memperluaskan rangkaian produk yang dijual melalui mesin layan diri dan menggalakkan semula amalan membaca akhbar.
Menurut beliau, kemudahan baharu itu diharap akan menceriakan pagi pengguna pengangkutan awam kerana lebih mudah untuk mendapatkan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia tanpa perlu beratur di kaunter sebaliknya menggunakan bayaran tanpa tunai melalui e-dompet, kad kredit atau debit.
“Minum kopi sambil membaca akhbar tabiat ramai rakyat Malaysia. Justeru, kami menawarkan Kopi Segera Wonda iaitu kopi segera Arabica 100 peratus premium untuk setiap naskhah akhbar yang dibeli,” katanya. – KOSMO! ONLINE