PETALING JAYA – Pelakon cantik Vanidah Imran memohon maaf seandainya ada mana-mana pihak terasa hati kerana tidak diundang ke majlis resepsi perkahwinannya baru-baru ini.
Menurut Vanidah atau lebih mesra di sapa sebagai Vee, 49, majlis hanya dibuat secara kecil-kecilan atas faktor kesihatan kedua-dua orang tua mereka.
“Majlis diadakan kecil-kecilan sahaja kerana mengambil kira faktor kesihatan kedua ibu bapa kami.
“Mohon maaf jika ada saudara-mara atau kawan-kawan yang terasa hati,” ujarnya menerusi hantaran dalam Instagram.
Dalam pada itu, pelakon filem Mami Jarum itu berterima kasih atas segala doa dan ucapan tahniah yang diterimanya selepas melayari bahtera pernikahan kali kedua ini.
“Vee nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah, ingatan dan kiriman doa daripada anda semua, sama ada secara peribadi mahupun dalam media sosial.
“Moga Allah kabulkan doa-doa tersebut dan dikembalikan juga pada anda semua. Kami berasa syukur dan sangat terharu dengan ucapan dan komen positif daripada semua.
“Terima kasih sekali lagi atas segala kasih, doa dan sokongan yang diberikan selama ini. Vee sangat menghargainya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, hanya dengan sekali lafaz, Vee dan Arifabillah Idris yang juga seorang pesilat negara selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri dalam sebuah majlis tertutup di ibu kota 7 Julai lalu.
Vee menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.
Sebelum ini, Vee yang kini berkhidmat sebagai pensyarah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon terkenal, Rashidi Ishak pada Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada Ogos 2018.