JAKARTA – Presiden Pengarah Morula IVF Indonesia, Dr. Ivan Rizal Sini mendedahkan bahawa sekitar 10 peratus daripada 40 juta populasi yang inginkan cahaya mata di Indonesia mengalami masalah ketidaksuburan atau sukar hamil, lapor laman berita Kompas kelmarin.
“Di Indonesia, daripada populasi berpotensi melahirkan anak yang mencapai 40 juta, ada sekitar empat juta mengalami masalah tidak subur.
“Bagaimanapun, dengan bantuan teknologi moden, berbagai masalah ketidaksuburan ini adalah lebih mudah untuk diatasi dengan syarat, setiap pasangan rajin melakukan pemeriksaan kesihatan,” ujar Rizal.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan ketidaksuburan seseorang individu baik lelaki mahupun wanita.
“Punca wanita tidak subur boleh disebabkan oleh saluran falopian yang tersumbat atau ketumbuhan yang berada di dalam rahim.
“Sementara itu, bagi lelaki pula, ia didorong kuantiti sel sperma yang rendah dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan tabiat minum minuman keras,” katanya.
Ivan memaklumkan bahawa Morula IVF Indonesia membantu golongan berusia mendapatkan zuriat menerusi kaedah persenyawaan tabung uji dikenali sebagai invitro atau IVF.
Menurutnya, Morula IVF telah membantu 90,000 pasangan di Indonesia dengan tahap kehamilan tertinggi hingga 72 peratus.
– Agensi