MANCHESTER – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United berjaya melengkapkan penghijrahan pemain antarabangsa Denmark, Christian Eriksen dengan perpindahan percuma selepas menandatangani kontrak sehingga musim 2025.
Sebagai rekod, Eriksen yang bergelar ejen bebas selepas kontraknya bersama Brentford tamat bulan lalu menjadi pemain kedua yang ditandatangani oleh pengurus baharu United, Erik Ten Hag selepas tonggak pertahanan, Tyrell Malacia.
Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu tidak akan menyertai skuad utama yang kini sedang mengharungi siri jelajah pramusim di Australia sebaliknya hanya dibenarkan untuk menjalani latihan pusat di Manchester.
Eriksen mengakui cukup teruja untuk mewakili kelab istimewa seperti United dan percaya masa depan pasukan kini berada di landasan yang tepat terutama di bawah kendalian Ten Hag yang memiliki potensi luar biasa.
“Semua orang tahu United adalah kelab yang memiliki keistimewaan tersendiri dan sudah tentu saya teruja dapat menyarung jersi pasukan buat pertama kali. Malah, saya tidak sabar untuk mewakili pasukan beraksi di Old Trafford nanti.
“Mengenai Ten Hag, sudah tentu dia menjadi salah satu faktor utama kenapa saya memilih United kerana dia memiliki kredibiliti serta falsafah yang hebat sewaktu bersama Ajax dan wajar dihormati,” kata bekas pemain Tottenham Hotspur itu.
Sementara itu, pengarah bola sepak The Red Devils, John Murtough percaya pasukan telah berjaya menandatangani pemain tengah terbaik di Eropah menerusi Eriksen.
“Bakat yang ada pada Eriksen tidak boleh dipertikai kerana dia salah seorang pemain paling kreatif di jentera tengah selain memiliki teknik hantaran bola terbaik di Eropah,” katanya. – AGENSI