WASHINGTON – Anggota penguat kuasa undang-undang merampas kira-kira satu juta pil tiruan dicampur fentanyl di sebuah kediaman di bandar Inglewood, Los Angeles pada minggu lalu, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) menyatakan, pil itu mempunyai anggaran nilai antara AS$15 juta (RM66.7 juta) hingga AS$20 juta (RM88.98 juta) dan dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah yang dikaitkan dengan Kartel Sinaloa.
“Rampasan besar-besaran ini mengganggu bekalan fentanyl di jalanan dan dapat menyelamatkan banyak nyawa,” kata Ejen Khas DEA, Bill Bodner dalam satu kenyataan.
Fentanyl merupakan dadah jenis opioid. Bahan terlarang itu didapati 100 kali ganda lebih kuat daripada morfin. Fentanyl dikesan dalam sekitar dua pertiga daripada keseluruhan 107,622 kematian akibat pengambilan dadah berlebihan pada tahun lepas, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Pengedar dadah sering mencampurkan fentanyl ke dalam dadah lain seperti heroin dan pil palsu untuk meningkatkan keuntungan mereka, tambah DEA.
“Pemasaran yang mengelirukan ditambah dengan kemudahan akses menjadikan pil yang kecil dan kelihatan tidak berbahaya ini ancaman besar terhadap kesihatan dan keselamatan masyarakat.
“Sebilangan besar remaja dan belia tidak menyedari bahawa mereka menelan fentanyl dalam pil palsu ini dan sedang diracun,” kata Bodner.
Los Angeles adalah lokasi perhentian biasa bagi kumpulan pengedar dadah kerana jarak bandar raya itu yang tidak jauh dari sempadan di samping banyak lapangan terbang serta lebuh raya memudahkan penyeludupan dadah ke destinasi lain di seluruh Amerika Syarikat.
DEA merampas lebih tiga juta pil fentanyl pada tahun lepas di kawasan Los Angeles iaitu hampir tiga kali ganda lebih banyak daripada rampasan pada 2020. Sementara itu rekod menunjukkan kira-kira 1.5 juta pil fentanyl dirampas sepanjang tahun ini. – Agensi