fbpx

Bangga dapat cipta sejarah buat negara – Aysar Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYSAR HADI (dua dari kanan) menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan selepas Malaysia muncul juara Piala AFF B-19 2022 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jakarta kelmarin. – AFF

KAPTEN skuad bawah 19 (B-19) negara, Aysar Hadi Mohd. ­Shapri mengakui cukup puas dapat membantu pasukan menjuarai saingan Piala AFF B-19 2022 dengan menewaskan Laos 2-0 pada pentas final di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jakarta kelmarin.

Pada aksi tersebut, skuad negara kendalian Hassan Sazali Waras tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan ke atas Laos hasil sepakan percuma Faiz Amer Runnizar pada minit ke-13 dan jaringan Aliff Izwan Yuslan (m-71).

Aysar Hadi yang menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan (MVP) mengucapkan penghargaan terhadap pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas sudi melepaskan barisan pemain muda Harimau Selatan bersama skuad B-19 negara.

“Syukur kami dapat mencipta sejarah untuk menjuarai trofi Piala AFF B-19 buat kali kedua. Secara peribadi, saya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) kerana melepaskan kami sebagai pemain JDT II untuk mewakili Malaysia.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini tetapi sudah pasti cukup puas dapat membantu pasukan melakar kemenangan.

“Namun, ini adalah kejuaraan bersama hasil kerja keras rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Aysar berharap kejayaan yang diraih dapat membuka peluangnya untuk mewakili skuad utama JDT, selain mengukuhkan tempat dalam kem kebangsaan pada masa depan.

“Saya harap ini adalah titik permulaan dalam karier saya untuk terus menyerlah dan sudah tentu mahu mewakili pasukan JDT pada masa akan datang dan juga kekal dalam pasukan kebangsaan,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah kejuaraan kedua buat kem negara yang mara ke final buat kali keempat berturut-turut selepas berjaya merangkul gelaran sama pada edisi 2018 yang turut dilangsungkan di Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI